Rabu, 16 Julai 2014

Puisi : SEORANG BONDA TIADA DUANYA (Dedikasi buat Bonda Wan Zahrah Wan Idris)

Puisi : SEORANG BONDA TIADA DUANYA

Seorang Hawa
bergelar bonda
yang tiada duanya
selama-lama
-tulus melaksana amanah
-cekal berpayung sabar.

Dalam asuh kasihmu
merimbun hajat
agar iman taqwa
mewangi nuraniku.

Dalam belai pujukmu
mendakap damai
mereda sedih pedih
menyingkir duka lukaku.
                                                                                                    

Dalam redup doamu
bersinar harap
memancari bahagia
segenap ruang hayatku.

Tulus melaksana amanah
Cekal berpayung sabar
Murni sanubari seorang Bonda
yang tiada duanya.

Semoga rahmat keredhaan Ilahi
Menaungi riwayat hayatmu.

- KanvasKarya ,
  18 Ramadhan 1435


Selasa, 26 November 2013

PUISI: ANDAI HILANG PEDOMAN

Radang yang membuak
menumpaskan kesabaran
dari batas waras
andai hilang pedoman.

Geram yang menikam
melukakan kedamaian
di persada nurani
andai ingkar muhasabah.

Marah yang membakar
menghanguskan keilmuan
di mercu fikir
andai tiada zikir.

Ayuh kita bersihkan jubah hayat
dari cemar debu mazmumah
Ayuh kita jernihkan mata batini
dengan senjata mujahadah.

-KanvasKarya,
 Dusun Tua.
 22 Hijrah 1435

Isnin, 4 November 2013

PUISI : KEMBALI KE ASAL MULA

PUISI: KEMBALI KE ASAL MULA

Kembali ke asal mula
bermuhasabah
merenung jejak hayat
yang lama menapak
bersama bekal pahala
yang sekepal cuma
bersama kantung dosa
yang segenggam rasa.

Kembali ke asal mula
bermujahadah
menjernih mata nurani
dengan basuhan iman
membersih jubah hayat
dengan hiasan amal.

"Dan tidaklah DIA mencipta
 manusia, kecuali untuk
mengabdi kepada-NYA"

Tuhan,
aku ingin kembali ke asal mula
setelah tersasar dan nanar
~leka pada pesona dunia
linglung dan bingung
~lena pada nikmat kehidupan
yang memperdayakan.

Pimpini akalfikirku
memahami luah firman-MU
Bimbingi daya juangku
mengamalkan sunnah Rasul-MU
agar kembaliku ke asal mula
dalam redup rahmat-MU.

- Menanti Hijrah ;
  KanvasKarya,
  Hulu Langat
  *30 Zulhijjah 1434H 



Rabu, 14 November 2012

BELASUNGKAWA~ AZIM SALEH (30.10.1959 - 6.11.2012)

Telah seminggu berlalu, baru lewat malam tadi (13/11), teman dapat berita mengenai sdr Salehuddin Ghazali (nama penanya Azim Saleh), telah kembali kerahmatullah..
Betapa terkilannya teman, di zaman IT , teman dan juga ramai kenalan arwah lewat menerima berita menyedihkan ini.. 

Arwah dikatakan meninggal dunia dalam tidur, dipercayai akibat serangan jantung. Sememangnya arwah amat jarang berkongsi kisah penyakit yang dihadapi. Menurut anak sulung beliau,Mohd Azim, ayahnya pernah beberapa kali mengadu sakit dada, namun tidak mahu mendapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik.

Pada hari kejadian, arwah seperti biasa selepas solat isyak, akan berehat di ruang tamu hingga terlelap.. Seperti biasa juga isterinya akan mengejutkan beliau untuk masuk ke kamar. Namun, pada kira-kira jam 11.30 mlm (6 November lalu), sewaktu si isteri mengejutkan beliau, didapati tubuh arwah telah dingin dan nyawanya telah terhenti..

Beliau meninggal dalam usia 53 tahun, meninggalkan keluarga tercinta serta kenalan dan sahabat yang amat menyenangi beliau kerana sikap ramah, jenaka, dan penyayangnya yang pasti akan dirindui selamanya..

Didoakan semoga Allah mencucuri rahmat atas roh arwah, dilapangkan kesiksaan di alam barzakh, diberikan kelapangan & ketenangan, beroleh keampunan dan keredhaan Ilahi, serta semoga ditempatkan di kalangan para solihin.. Aamiin..
  al-Fatihah..


Rabu, 23 Mei 2012



Puisi: DEMAM

Demam..
Memimpin diri bermuhasabah
Membimbing nurani bermujahadah.

Demam..
Mengajar jiwa lebih sabar
Mengasuh rasa agar tegar.

Demam..
Mengharap belas limpahan rahmat
Mensyukuri segala kurniaan nikmat.

alhamduLillah
Sesekali sakit menggigit
baru kesedaran datang menggamit!

astaghfiruLlah..
Moga hamba-Mu beroleh maghfirah
Moga hamba-Mu mencapai mardhatiLlah..


~ Kanvaskarya, Hulu Langat
   2 Rejab 1433


Selasa, 7 Februari 2012

FILEM YANG MENDIDIK ~ "HAFALAN SOLAT DELISA"

Sudah agak lama saya tidak menonton filem. Baru-baru ini, anak dara ketiga saya mengesyorkan saya menonton cerita yang bertemakan keIslaman, judulnya 'Hafalan Solat Delisa'. Katanya, "Sedih cerita tu, abah.."

Melihat pada judulnya saja, sudah menarik 'mood' saya untuk mengetahui apa yang sebenarnya dikisahkan dalam filem Indonesia itu..

Berikut adalah sinopsis ceritanya..
"Delisa, anak bongsu dalam keluarga Abi Usman, tinggal di Lhok Nga, Aceh bersama ibu dan tiga orang kakaknya iaitu Fatimah, Aisyah dan Zahra.
Pada 26 Disember 2004, sewaktu Delisa sedang menghadapi ujian praktikal hafalan solat, berlakulah tragedi tsunami yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Nasib Delisa agak baik berbanding ahli keluarganya yang lain, apabila telah diselamatkan oleh tentera asing bernama Smith. Cuma, kakinya yang teruk mengakibatkannya terpaksa dipotong. Di hospital, dia dirawat oleh jururawat Sophie. Perhatian yang diberikan oleh Smith dan Sophie, serta gurunya Ustaz Abdul Rahman, seakan memberi semangat buat Delisa untuk meneruskan kehidupan.
Dalam mengharungi kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga dan teman rapat, hatinya terubat jua setelah akhirnya ayahnya Abi Usman dapat menemuinya semula..Begitupun, kisah sedih terus bertali dan berjaya mendidik jiwa Delisa lebih tegar dan tabah, serta mengajarnya memahami apa itu 'ikhlas', serta mengerjakan sesuatu itu tanpa mengharapkan balasan.."

Menonton cerita itu dengan penuh penghayatan, mampu mencakar dan mencalar perasaan.. Jiwa lelaki saya tergugah, dan terasa kesedihan meruntun.. Kisah yang menyentuh rasa, melibatkan kehilangan insan tersayang.. Anak kecil seusia itu, belajar erti kesusahan dan penderitaan, namun dididik dengan rasa tanggungjawab terhadap Pencipta, kewajipan mengerjakan solat.

Sesuatu yang berkesan menyentuh nurani, adalah dialog itu~ "Delisa sayang Ummi kerana Allah"..

Bagi yang belum menontonnya, tontonlah, dan ambil pengajaran daripadanya..