Isnin, 17 Ogos 2009

LAGU BERTEMA KETUHANAN - PADA-MU KU BERSUJUD

Sering juga penyanyi pop mendendangkan lagu yang bertema ketuhanan dan keagamaan - bukan penyanyi nasyid saja. Ini salah satu lagu yang amat menyentuh sukma. Biarpun liriknya agak 'prosaik', namun dengan bantuan iramanya yang sentimental- pendengar pasti dapat merasai sesuatu yang 'menusuk' nurani..

Hayati irama dan liriknya..

Pada-Mu Ku Bersujud
Ku menatap dalam gelap
tiada yang bisa kulihat
selain hanya nama-Mu,
ya Allah

Esok ataukah nanti,
ampuni semua salahku
lindungi aku dari
segala fitnah

Korus ;
Kau-tempatku meminta,
Kau-beriku bahagia
jadikan aku selamanya
hamba-Mu yang selalu bertaubat

Ampuniku ya Allah,
yang sering melupakan-Mu
saat Kau-limpahkan
karunia-Mu
dalam sunyi aku bersujud

Ahad, 12 Julai 2009

YUK, PAKAT PI TENGOK 'INTAN YANG TERCANAI'. 12 JULAI, HARI TERAKHIR!

Saja saya tuliskan tajuk entri begitu!

Sememang, Ahad - 12 Julai, teater arahan A.Wahab Hamzah ini akan dipentaskan buat hari kelima dan terakhir. Bagi yang belum menontonnya, harap berusaha luangkan masa untuk menikmati karya Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan ini.

Saya tidak berhasrat untuk mengemukakan sinopsis mahupun komentar berkaitan cerita yang dipaparkan itu, kerana berita dan cerita mengenainya telah beberapa kali disiarkan dalam media massa, khususnya dalam sisipan hiburan akhbar harian perdana.


Cuma yang boleh saya perkatakan- cerita yang lebih berkait dengan tragedi terowong Mu'assem tahun 1990 dulu, sedikit sebanyak menyentuh nurani saya kerana mengenangkan arwah nenek sebelah isteri saya yang turut berada di sana ketika kejadian..

Alunan nyanyian dan lagu yang melatari cerita berjaya menggugah perasaan, lantas saya lebih terasa suasana tragedi itu sendiri yang mengundang persoalan terhadap buruknya sikap manusia meskipun sedang dalam melakukan ibadah. (Pencarian Danial terhadap Ungku Intan Anis tidak berat atau menusuk, berbanding peristiwa tragis yang mengorbankan lebih seribu nyawa jemaah haji ketika itu..)

Pentas teater di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP mungkin kecil ruang dan audiennya. Namun, gerak lakon yang melampaui tempat duduk penonton, menjadikan teater itu amat dekat dan 'masuk' dalam mata batin yang meyaksikannya..

Yuk, silakan menonton nanti malam, iya!

Ahad, 21 Jun 2009

Menonton 'MANA SETANGGINYA' di Istana Budaya


Setelah seharian terlibat dengan Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP), pada malamnya- saya berpeluang merehatkan beban fikir dengan kembali menonton teater-MANA SETANGGINYA Itupun, malam kedua terakhir, digagahkan diri kerana tidak mahu melepas peluang menonton buah tangan seorang Sasterawan Negara yang sepatutnya dapat dinikmati sepuluh tahun lalu.

Karya SN Datuk Noordin Hassan ini sarat dengan mesej tersirat- biarpun nama-nama watak yang dibawakan tidak wujud dalam masyarakat kita, namun gambaran perwatakan sememangnya wujud dalam masyarakat (negara) kita. Biarpun tidak kelihatan sinis secara langsung- kerana latar tempat yang 'asing'- tetapi sesekali terlintas di fikiran, cerita yang dipapar sebagai biasan kepada realiti dalam masyarakat kita pada hari ini..

Menonton teater bagi saya, yang memikat tentunya pembawaan watak-watak dalam cerita. Selain plotnya, saya biasanya lebih melihat aspek lakonan pembawa watak yang menjadikan cerita itu lebih menambat dan memikat. Dalam 'Mana Setangginya', saya amat mengagumi Mohd Nor Fatih Mohtar yang menjiwai watak Silbi, Shaharudin Tamby (Hawar), Iqbal Taufik (Uzza) dan tentunya Azizah Mahzan (Mira). Pengarah Zaifri Husin seharusnya menerima kredit kerana berjaya memberikan kepuasan sehabis menonton teater ini..

Ahad, 10 Mei 2009

"CARA MUDAH MENULIS NOVEL" - Satu Panduan Kepada Yang Berminat Menulis Novel


Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung pada Pesta Buku di PWTC bulan lalu, saya pasti masih ramai yang berminat membaca novel Melayu. Tinjauan di beberapa gerai yang menjual novel, mendapati golongan remaja antara yang paling ramai memilih dan membeli novel..

Bagaimana pula dengan minat terhadap mengarang novel..? Mungkin di luar sana, ramai juga yang berkeinginan serta menyimpan impian untuk menulis novel, seterusnya menjadi seorang novelis.

Menyedari kehendak mereka ini, novelis/cerpenis Muhd. Nasruddin Dasuki, telah menghasilkan e-book berjudul "CARA MUDAH MENULIS NOVEL" , terbitan MND Publications & Distributors.

"Saya tahu, anda berminat menulis novel tetapi sayangnya sudah dua atau tiga kali anda mencuba tetapi masih gagal. Puncanya kerana anda tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Inilah yang sering terjadi kepada mereka yang baru berjinak ingin menulis novel.

Tetapi, anda jangan risau. Kelahiran ebook Cara Mudah Menulis Novel ini akan membantu menyelesaikan masalah anda itu. Oleh itu jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan ebook ini."
sdr. Muhd. Nasruddin, dalam prakatanya.

"Untuk menjadi seorang novelis, anda wajib mempunyai minat untuk membaca. Sudah berapa banyakkah novel yang anda baca? Mungkin sudah satu rak atau lebih? Setelah sekian banyak novel yang anda baca, apakah anda tidak teringin untuk menulis novel?

Saya yakin, anda tentu berminat menghasilkan sebuah novel. Bagaimana jika minat membaca anda itu ditukar kepada minat menulis novel? Sudah ramai penulis novel yang menikmati royalti ribuan ringgit hasil penulisan mereka.

Menulis novel juga mampu menjana pendapatan jika anda seorang yang rajin. Ramai sebenarnya yang tidak tahu mengenai perkara ini. Sudah ramai juga yang menulis novel dijadikan kerjaya sepenuh masa. Malah tidak kurang juga yang sudah memberanikan diri menjadi penerbit novel. Ini bukan perkara mustahil. Saya percaya anda mampu melakukannya.

E-book ini akan mendedahkan kepada anda bagaimana mahu menghasilkan sebuah novel dengan cara yang sangat mudah. Anda tidak perlu membuang masa termenung berjam-jam untuk mencari idea menulis."
sambungnya lagi.

"Apabila anda memiliki e-book ini, dengan sendirinya anda tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan idea menulis.

Inilah di antara punca anda gagal menyiapkan sebuah novel

• Sukar menulis intro
• Tidak tahu di mana mendapatkan bahan untuk menulis
• Tidak tahu mengolah bahan cerita
• Sukar untuk menguasai bahasa
• Bingung untuk menyediakan jalan cerita
• Gagal membezakan watak dan perwatakan
• Sukar menguasai plot dan sebagainya

Apakah informasi yang anda perolehi daripada ebook ini?


Sebelum anda mula menulis, anda akan diajar bagaimana mahu mengenali ciri-ciri sebuah novel. Ini penting kerana sebelum menulis, anda harus tahu langkah-langkah yang sepatutnya anda lakukan supaya tidak buntu di tengah jalan.

Anda akan didedahkan dengan tema, plot, watak dan perwatakan, sudut pandangan, gaya bahasa dan sebagainya supaya novel anda kelihatar segar, tidak menjemukan dan sentiasa mengikat pembaca supaya meneruskan pembacaan sehingga selesai."


"Anda juga akan didedahkan bagaimanakah mahu mendapatkan bahan cerita. Di sekeliling kita sebenarnya banyak bahan cerita yang boleh ditulis menjadi novel, tetapi anda tidak terlintas menulisnya. Kenapa?

Sesudah mendapat bahan cerita, anda akan diajar bagaimana mahu memproses supaya kerja penulisan berjalan lancar. Anda juga akan didedahkan dengan contoh-contoh supaya anda mudah memahaminya.

Selain itu, anda akan diajar bagaimana menulis jalan cerita atau sinopsis dan rangka cerita berserta contohnya sekali. Sebagai penulis yang sudah menghasilkan beratus-ratus buah cerpen dan lebih 20 buah novel, saya akan membantu anda menggapai impian anda itu. Kami juga akan memberikan perkhidmatan selepas jualan secara percuma lepada pembeli e-book ini."

Setiap pembelian sebuah e-book ini anda layak menerima sebuah novel percuma. Anda boleh memilih salah satu judul novel berikut “Sebening Airmata” atau “Airmata Pertama.”

Anda berminat..?
Sila hubungi sdra. MUHD. NASRUDDIN DASUKI di email;
mnasd_326@yahoo.com

atau sila hubungi beliau di talian - 013-3635560

Jumaat, 24 April 2009

AYUH, KITA TONTON 'MAHSURI'!


Pertamanya, saya ingin mengungkapkan ucapan 'SEKUNTUM TERIMA KASIH' buat dik Ryann (http://audiiwana.blogspot.com)- atas jemputan ke majlis pratonton teater 'Mahsuri', bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya pada 23 April semalam.

Jika sebelum ini saya hanya menonton kak Fauziah berlakon- drama dan teater, tapi ini julung kalinya saya berpeluang menikmati hasil pengarahannya. Atas keyakinan dan kekaguman terhadap karisma yang dimiliki beliau dalam dunia lakonan, saya sememang teruja menyaksikan teater ini.

Saya tidak berhasrat mengulas tentang penceritaan- hasil skrip Rahimidin Zahari itu. Kerana secara peribadi, ada kala penghayatan terhadap penceritaan terganggu oleh 'ketidakjelasan' dialog penutur sesetengah watak, kesan dari sistem audio yang perlu diperbaiki untuk hari-hari pementasan berikutnya.

Namun, saya amat kagum dengan kelancaran cerita dari babak ke babak, dengan dibantu latar set pentas yang amat menarik, cantik, sesuai dengan latar masa penceritaan, selain irama lagu yang membuai keseronokan menonton. Untuk itu, saya 'salute' pengarah artistiknya, Irwan Ismadi, Mohd. Yazid Zakaria (Pengarah Muzik), Iryanda Mulia (Komposer) dan Adam Corrie (Koreografer). Tidak ketinggalan, Poizi Nawi, koreografer persilatan -yang berjaya menonjolkan seni silat Melayu, lambang dan tunjang keperwiraan bangsa.

Teater arahan kak Fauziah juga memberi impak di jiwa penonton melalui watak-watak yang dibawa Sabera Shaik (Wan Mahura), Cico Harahap, selain tentunya pelakon wanita terbaik Vanida Imran sebagai Mahsuri. Watak-watak sampingan juga dirasakan tidak menghampakan. Syabas kepada Stefani!

"Wah..Puas! Boleh gi lagi!"
-teman saya meluah kepuasannya setelah selesai menonton.

Ayuh, saudara. Kita tonton Mahsuri!
(Dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, pada 24-30 April 2009, jam 8.30 malam)

*Amiluddin tidak melepas peluang bergambar kenangan dengan pelakon Abu Bakar Omar


* Kesempatan berbual dengan Kak Uji Rashid, lagu-lagunya mengenangkan saya pada zaman persekolahan rendah..

Khamis, 26 Mac 2009

SEBUAH CERITA PENDEK - SELEPAS DIBALING KASUT


SELEPAS insiden dibaling kasut tempoh hari, dia menghilangkan diri. Ramai yang tertanya-tanya, di mana gerangan dirinya ? Orang bawahan dan seluruh warga kementeriannya hanya mengatakan dia bercuti seminggu. Tidak mahu dihubungi. Tidak perlu sms atau calling-calling.

Seminggu kelibatnya tidak dikesan. Seminggu itu juga keluarganya juga terputus hubungan. Tidak tahu di mana dia menyembunyikan diri. Tidak dengar khabar berita. Tidak dengar bicara mahupun panggilan daripadanya. Hidupkah lagi, ataukah sudah berkalang tanah?

Sebenarnya seminggu itu, dia sedang beruzlah- mengasingkan diri daripada orang lain. Dia bertujuan memuhasabah diri. Dia ingin menilai baik buruk dirinya, sepanjang mencurah bakti kepada masyarakat dan Negara. Paling penting, adakah tanggungjawab yang terpikul di pundaknya itu, telah digalas dengan penuh amanah, dedikasi dan sememang berguna serta bermakna kepada setiap insan bergelar pelajar. Insan bergelar pelajar yang akan memimpin negara suatu hari nanti.

Belum terlihat keberkesanan Rancangan Besar Asuhan Negara (RABAN), kerana memakan masa 5 tahun. Kini dia dihadapkan dengan isu semasa yang amat mencabar kesetiaan dan kesungguhannya terhadap kementerian yang diterajuinya.

Insiden dibaling kasut tempoh hari adalah manifestasi kemarahan orang-orang kampung yang telah lama terpendam. Anak-anak mereka adalah mangsa sistem Pembelajaran Perkara Penting Bahasa Asing (PEBABAS). Anak-anak mereka diajar dan diasuh dengan perkara-perkara penting dengan menggunakan Bahasa Asing. Natijahnya, mereka gagal, ketinggalan dibandingkan dengan bangsa lain.

Tidak cukup dengan kesannya terhadap anak-anak bumiputera, golongan pejuang Bahasa Ibunda turut meluah kemarahan terhadap kementeriannya yang seolah mengutamakan Bahasa Asing, seraya memperendahkan martabat Bahasa Ibunda sendiri.

Cuma, golongan pejuang Bahasa Ibunda merupakan golongan intelek yang berusaha menyuarakan perjuangan mereka dalam nada lebih lembut demi mengekalkan hubungan baik antara pertubuhan mereka dengan kementeriannya yang dianggap payung –sebenarnya- demi kelangsungan memartabatkan bahasa Ibunda untuk jangka panjang.

Mereka tidak sesekali akan menunjukkan kemarahan dengan menggunakan kanak-kanak, ataupun lebih teruk daripada itu- menganjurkan demonstrasi berbogel! Tidak. Mereka tidak akan bertindak kurang cerdik seperti itu!

Kini pejuang Bahasa Ibunda masing-masing sudah senyap. Senyap untuk melihat, seterusnya menilai apa tindakan yang akan dia ambil untuk menyelesaikan isu terbabit. Golongan yang merasakan PEBABAS merugikan anak-anak mereka untuk jangka panjang, sememang tidak bersedia menerima hasrat PEBABAS diteruskan.
Sebaliknya, golongan yang pro-PEBABAS tidak melihatnya dari sudut negatif berdasarkan perpekstif mangsa keadaan. Mereka melihat dari kacamata material barangkali, atau yang terbit daripada hasil pendidikan barat mereka. Itu tanggapan daripada pejuang Bahasa Ibunda, antaranya.

Dia masih menghitung satu persatu cabaran yang dilaluinya sebelum ini.

Terbaru, ada saranan agar semua yang bergelar ‘pelajar’, menikmati hanya satu aliran pendidikan. Tidak ada sekolah jenis tuantanah. Tidak ada sekolah jenis pendatang. Tidak ada sekolah jenis penjajah. Semua akan belajar di bawah satu sistem, satu aliran. Ini dikatakan mampu memupuk semangat perpaduan antara rakyat Negara yang berbilang kaum.

Isu yang dibangkitkan oleh seorang wakil rakyat, yang juga rakan baiknya, sedikit sebanyak menambah pening dan menyebabkan migraine kembali menyerangnya. Ramai yang pro, tidak kurang yang kontra.

Golongan yang cintakan keamanan, yang sayangkan hubungan harmoni antara kaum, sememang bersetuju sangat dengan cadangan rakannya itu. Manakala yang cintakan kepentingan sendiri, yang sayangkan monopoli yang sedia dikaut, bangkit menentang bersungguh-sungguh. Bagi mereka, kejayaan dan kekayaan tidak boleh dikongsi.

Dia termenung panjang melihat semua itu dengan mata zahir. Dia merenung buruk baik segalanya itu dengan mata batin. Dia ingin menggunakan neraca keputusannya itu dengan adil, agar lambang keadilan yang dibawakan parti pemerintahnya bukan, sekadar lambang.

Kini segala keputusan di tanganfikirnya, menjadi penentu sama ada para penentang akan mahu turut bersama merealisasikan aspirasi kementerian untuk memajudayakan anak bangsa. Atau sebaliknya, mereka tetap kekal menentang dan bersedia untuk membaling lebih banyak kasut ke arahnya- demi menyelamatkan masa depan anak bangsa agar tidak terus tercicir…

Sabtu, 7 Mac 2009

BELASUNGKAWA - kanda ZUBIR ALI


Selepas solat Jumaat di Masjid Jameq Jami'ul Ehsan, Setapak, dalam perjalanan mengambil anak di sekolah teknik berdekatan, saya terdengar berita pemergian kanda Zubir Ali, melalui siaran radio IKIM.

Terkejut sejenak. Tidak kedengaran beliau menghidap penyakit kronik sebelum ini. Maklumat yang diterima, beliau meninggal dunia sekitar jam 11.00 pagi ini di Hospital Pakar Damansara selepas menjalani pembedahan jantung.
Allahyarham Zubir, 58, meninggalkan seorang balu dan tiga orang zuriat.

Saya terkenang kali terakhir berpeluang makan bersama arwah, di Oditorium DBKL, sewaktu beliau akan membuat persembahan (lagu puisi) pada Majlis Baca Puisi Gema Merdeka tahun lepas. Biarpun kelihatan dari luaran beliau seorang yang pendiam, namun cepat mesra setelah mula berbual.

Kehadiran beliau bersama kumpulan Harmoni di awal 80an dulu, berjaya menyemarakkan minat kepada lagu-lagu puisi. Lagu seperti Penantian, Nyanyian Ombak, Balada Seorang Gadis Kecil dll, masih berbekas dan tetap nostalgik.

Sejambak TAKZIAH buat keluarga allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah, serta ditempatkan di sisi orang-orang yang soleh..

al-Fatihah

Khamis, 12 Februari 2009

MAKLUMAN - SAYEMBARA FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI UTM-KUMPULAN UTUSAN



Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan telah menganjurkan Sayembara Novel Cereka Sains dan Teknologi peringkat Kebangsaan 2008. Penghantaran penyertaan telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2009.

Sayembara ini bertujuan untuk meningkatkan dan menggalakkan manipulasi daya cipta, kreativiti, dan motivasi dalam kalangan pelajar IPT tempatan, tenaga pengajar khasnya, dan rakyat Malaysia secara umumnya.

Hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang antaranya tempat pertama dengan hadiah wang tunai RM 15,000.00, tempat kedua RM7,500.00, tempat ketiga RM 5,000.00 manakala lima pemenang hadiah saguhati akan menerima wang tunai setiap seorang RM 2,500.00. Kesemua pemenang hadiah utama dan saguhati akan turut menerima watikah dan trofi.

Selain itu, karya yang menang juga akan diterbitkan oleh pihak Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan sayembara ini bolehlah menghubungi saudara Yosman Mohd Bain dari Penerbit UTM Press di talian 07-5218166 / 019-7557760 atau saudara Rozlan Mohamed Noor dari Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd editor@minister.com

[ Sumber daripada http://celikhuruf.blogspot.com ]

Rabu, 4 Februari 2009

MAKLUMAN - KEPADA AHLI KALAM

Dimaklumkan bahawa unit penerbitan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) akan menerbitkan buletin pertama bagi tahun 2009. Oleh itu semua ahli KALAM adalah diminta untuk menghantarkan karya berupa puisi, cerpen, berita dll untuk tujuan tersebut.

Segala bahan berkenaan perlu dihantar kepada sdr Abdullah Shuib, editorial KALAM, di alamat :- 74, Jalan 1, Selayang Pandang, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Buletin pertama dijangka diterbitkan pada bulan Mac 2009. Harap maklum.

(Permohonan untuk menjadi ahli KALAM juga boleh dibuat dengan menghubungi beliau, atau terus berhubung dengan sdr Mattaib Nordin, Setiausaha Kehormat KALAM di talian 012-3713765)

Isnin, 19 Januari 2009

PUISI - KUNTUMAN DOA BUAT PALESTINA


Kerana kami kasihkan keamanan, Tuhan
Kerana kami sayangkan keharmonian, Tuhan
Kerana kami cintakan kebahagiaan, Tuhan

Lalu
Engkau perkenankanlah permohonanan kami.

Selamatkanlah hamba-hamba-Mu yang lemah dan lelah
ditindas kaum zionis yang selalu ingkar dan mungkar
Selamatkanlah anak-anak kecil yang derita sengsara
dizalimi yahudi yang teguh angkuh dan bongkak
Selamatkanlah insan-insan yang tidak bersalah
daripada tangan-tangan yang merenggut kehidupan mereka

Pimpin dan bimbinglah hamba-hamba-Mu yang lemah dan lelah
dengan payung kesabaran dan ketabahan menerima hujan ujian-Mu
Pimpin dan bimbinglah anak-anak kecil yang derita sengsara
dengan lentera keimanan dan ketaqwaan menghadapi musibah-Mu
Pimpin dan bimbinglah insan-insan yang tidak bersalah
dengan rahmat keberkatan-Mu menikmati kehidupan serba baru.

Kerana kami kasihkan keamanan, Tuhan
Kerana kami sayangkan keharmonian, Tuhan
Kerana kami cintakan kebahagiaan, Tuhan

Lalu
Engkau perkenankanlah permohonanan kami.

- KanvasKarya, Muharram 1430