Ahad, 21 Jun 2009

Menonton 'MANA SETANGGINYA' di Istana Budaya


Setelah seharian terlibat dengan Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP), pada malamnya- saya berpeluang merehatkan beban fikir dengan kembali menonton teater-MANA SETANGGINYA Itupun, malam kedua terakhir, digagahkan diri kerana tidak mahu melepas peluang menonton buah tangan seorang Sasterawan Negara yang sepatutnya dapat dinikmati sepuluh tahun lalu.

Karya SN Datuk Noordin Hassan ini sarat dengan mesej tersirat- biarpun nama-nama watak yang dibawakan tidak wujud dalam masyarakat kita, namun gambaran perwatakan sememangnya wujud dalam masyarakat (negara) kita. Biarpun tidak kelihatan sinis secara langsung- kerana latar tempat yang 'asing'- tetapi sesekali terlintas di fikiran, cerita yang dipapar sebagai biasan kepada realiti dalam masyarakat kita pada hari ini..

Menonton teater bagi saya, yang memikat tentunya pembawaan watak-watak dalam cerita. Selain plotnya, saya biasanya lebih melihat aspek lakonan pembawa watak yang menjadikan cerita itu lebih menambat dan memikat. Dalam 'Mana Setangginya', saya amat mengagumi Mohd Nor Fatih Mohtar yang menjiwai watak Silbi, Shaharudin Tamby (Hawar), Iqbal Taufik (Uzza) dan tentunya Azizah Mahzan (Mira). Pengarah Zaifri Husin seharusnya menerima kredit kerana berjaya memberikan kepuasan sehabis menonton teater ini..