Ahad, 21 Disember 2008

AHLI JAWATANKUASA KERJA KALAM SESI 2008-2010


*Pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) telah dibuat dalam Mesyuarat Agung KALAM Kali Ke-14, bertempat di Dewan Seminar, Menara DBP, Kuala Lumpur, pada 21 Disember 2008.

Senarai Ahli Jawatankuasa Kerja KALAM (sesi 2008-2010) adalah seperti berikut ;

Ketua 1 : Sdr Mohamad Daud Mohamad
Ketua 11 : Sdr Mansor Abu Bakar

Setiausaha 1 : Sdr Mohd. Taib Nordin (Mattaib Nordin)
Setiausaha 11 : Sdr Muhamad Ikhram Fadhly Hussin

Bendahari : Sdr Hassan Abdul Majid

Ahli Jawatankuasa ;
Sdr Zainal palit (Zaen Kasturi)
Sdr Adlan Mohd. Ali (Chulan Chin)
Sdr Abdul Ghafar Bahari (Gopa)
Sdr Abdullah Shuib


Pemeriksa Kira-kira ;
Sdr Ritah Yahaya
Sdr Zahani Ismail



*Ketua 1 - Sdr MOHAMAD DAUD MOHAMAD


*Ketua 11 - Sdr MANSOR ABU BAKAR


*Setiausaha 1 - Sdr MATTAIB NORDIN


*Setiausaha 11 - Sdr MUHAMMAD IKHRAM FADHLY HUSSIN


*Bendahari - Sdr HASSAN ABDUL MAJID


*AJK - Sdr ZAEN KASTURI


*AJK - Sdr CHULAN CHIN


*AJK - Sdr GOPA


*AJK - Sdr ABDULLAH SHUIB


*Pemeriksa Kira-Kira 1 - Sdr RITAH YAHAYA

(Tiada gambar- Pemeriksa Kira-kira 2 - Sdr ZAHANI ISMAIL)

Isnin, 15 Disember 2008

NOTIS MESYUARAT AGUNG KALAM

Kepada semua ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) -

Mesyuarat Agung KALAM Ke-14, akan diadakan pada ketetapan berikut ;

Tarikh : 21 Disember 2008 (AHAD)
Masa : 2.30 petang
Tempat : Dewan Seminar,
Menara DBP,
Kuala Lumpur.


Sebarang usul bertulis bolehlah dikemukakan kepada sdra Mohd. Taib Nordin (Mattaib Nordin), Setiausaha 1 KALAM (Telefon bimbit - 012-3713765)

Pemilihan ahli jawatankuasa bagi sesi 2008/2010 juga akan dibuat.

- Makluman daripada Setiausaha 1 KALAM

Khamis, 27 November 2008

Teater - CINTA JULIA [Persembahan Solo FAUZIAH NAWI]


Bermula 21 November lalu hingga 2 Disember ini, teater CINTA JULIA dipentaskan di Stor Teater DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
Hasil karya sdr Iryanda Mulia Ramly ini menguji kemampuan pelakon Fauziah Nawi beraksi secara solo selama sejam.
Dalam usia menghampiri 56 tahun, ternyata Fauziah Nawi membuktikan betapa berbakatnya beliau dalam membawa kepelbagaian watak yang mampu menyentuh dan mencuit perasaan.
Penonton akan turut dibuai rasa gundah, marah, hiba, sedih pedih, dan tidak kurang juga ada tawa dan ceria dalam menghayati watak yang dibawakan beliau.

Terkandung banyak mesej- sebenarnya - dalam luahan dialog yang disuarakan oleh Fauziah Nawi dengan begitu tegas jelas, lancar, sayu tapi kemas. Bukan sekadar itu, tetapi beliau turut menyerlahkan kemampuannya menyanyi, di samping menari dalam irama yang amat cocok pergerakannya.

(*Ketiga-tiga foto di atas diambil daripada http://audiiwana.blogspot.com - Terima kasih buat sdri Ryann)
Tidak perlu ruang luas, cukup sekadar pentas kecil bagi Fauziah Nawi melakonkan teater ini dengan berkesan, dekat dan berbekas di jiwa penonton. Kesempatan saya menonton teater CINTA JULIA (malam tadi) membuatkan saya membuat satu kesimpulan- Fauziah Nawi sememangnya seorang pelakon yang paling hebat!

*Foto menunjukkan 3 orang pembaca berita TV1 bergambar kenangan dengan Fauziah Nawi
Ayuh, bersama menontonnya!

Rabu, 19 November 2008

Puisi - SELAMAT PENGANTIN BARU


(buat teman yang menamatkan zaman bujangnya)

Bernama perkahwinan itu
Adalah ikatan setia murni
bertapak pada nawaitu suci
berdiri atas kasih tulus
berpaut di puncak munajat
bernaung di persada kerukunan
-demi keharmonian hakiki
-demi kebahagiaan abadi

Di bahu kalian sebenarnya
Terbeban amanah
-pikullah dengan tabah & gagah
Di tangan kalian sebenarnya
Tergenggam kewajipan
-corakkan dengan cermat & nikmat
Di jiwa kalian sebenarnya
Terkandung harapan
-hiasi dengan kecerdikan & kecantikan
Kelak akan kalian rasai
-senang & tenang rohani
-iman & aman nurani

"Semoga jodoh berkekalan
bahagia berpanjangan
dirahmati & diberkati Tuhan!"

- KanvasKarya, Zulkaedah 1429

Ahad, 9 November 2008

Puisi - Bersemadilah Para Sahabat (Syuhada, sebenarnya)


Mendung mengkhabarkan berita duka
-pahit memalit sakit
-pedih bersilih sedih
menatap sejumlah cerita luka
merungkai segala lara.

Aku sebenarnya kehilangan kata-kata
kematian ini bukan untuk ditangisi
kerana perjuangan kalian adalah suci
semoga mardhatillah diperolehi.

Bersemadilah para sahabat,
darah mengalir menjadi saksi
senyum terukir pada wajah
adalah tanda mujahid tidak kalah
di sisi Allah
-syuhada sebenarnya.

- KanvasKarya, 9 November 2008

[* Mengenang Ustaz Abu Umar (Imam Samudra) & Ustaz Mukhlas (Ali Ghufron) yang pernah menyampaikan ilmu buatku. Semoga Allah SWT cucuri rahmat-Nya ke atas roh kalian. Amiin]

Isnin, 3 November 2008

Puisi - DI BAWAH KUBAH


Kukucup bening kening-Mu di musala
mengakrab-kejap ikrar cita Cinta ceria.

Bernyala-nyali terpadam kelam suram
saat kutunjang wirid di ranjang masjid
-habis terpancung segala haluan duniawi
-habis terbangun segala tujuan ukhrawi.

Wasilah tasbih merintih jernih inayah
bekas taqwa menghimpun ampun taubat
insaf menyedar khilaf menyandar munajat
di bawah kubah kugubah jubahhayat.

- MINGGUAN MALAYSIA, 6 Disember 1992

Sabtu, 18 Oktober 2008

Berita - Antologi Terbaru ABDUL HADI MUHAMAD


Buku antologi NEGERI DI BAWAH BULAN , merupakan antologi puisi terbaru penyair IslamABDUL HADI MUHAMAD selepas RUANG DALAM (1986) dan RACUN ABADI (2001).
Antologi NEGERI DI BAWAH BULAN mengandungi 75 buah puisi yang bertemakan keTuhanan,kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya. Digarap dengan bahasa yang segar, puitis serta mengandungi mesej tersirat yang perlu diambil pedomannya.
Penyair ABDUL HADI MUHAMAD kini sebenarnya sedang berdepan dengan sejenis penyakit kronik iaitu pompe's disease, satu penyakit lemah saraf (hingga pergerakan peparu) yang ditanggungnya sejak 2 Ramadhan 1428H (15 Sept 2007). Meskipun dalam keuzuran, jiwa seni yang sebati dalam diri mendorong beliau terus menghasilkan karya bersandarkan pengalaman beliau itu.
Bersamalah kita mendoakan kesihatan beliau, di samping turut menyokong kegigihan beliau berkarya, dengan mendapatkan antologi tersebut.
Silalah lawati laman blog beliau di http://www.abdulhadimuhamad.blogspot.com

Selasa, 7 Oktober 2008

Puisi - SAAT MENINGGALKAN PELABUHAN


Saat meninggalkan pelabuhan ramadhan
ada mendung berarak di langit nurani
sayup mengenang daun-daun hari
yang berguguran di kebun amal
menimbun di halaman hayat

Masihkah ada ruang pelayaran diri
menemui pangkalan buat mengabdi
lagi duabelas purnama
yang serasa lama, dan lara

Tuhan
izinkan sedikit ruang
buat hamba berkelana
tabah menempuh kabut
tegar merempuh ribut
mengharap kesempatan
berlabuh lagi.

- KanvasKarya, 1429H

Ahad, 21 September 2008

Puisi - PESAN BUAT ANAK


Kita adalah penumpang yang sebentar cuma
menyinggahi pelabuhan fana
untuk ke destinasi yang abadi.
Persiapkanlah diri
dengan bekal iman dan taqwa
buat menempuh gelora segara
yang tidak ketentuan.
Persucikan naluri
dengan zikir dan fikir
buat merempuh ribut dan kabut
yang berserabut.
Nanti akan kaurasai pelayaranmu
tenang dan senang.

Kita adalah ciptaan yang bertuan Tuhan.
Di mana jua bumi dipijak,
di situ jua risalah hak kita sanjung,
amanah mutlak kita junjung.
Adat bertentu, bilang teratur.
Mari kita langkahi kehidupan
dengan gerak akal lebih tepat
dan tindak lebih cermat.
Nanti akan kausedari serta insaf,
tidak kaulanjuri atau khilaf.

"Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah,
jangan kamu bercerai-berai" - firman Tuhan.
Kita sesama Muslim adalah bersaudara.
Terluka di jari kanan, di kiri turut berduka.
Ibarat lidi, sebatang mudah dipatah-belah,
jika segenggam ampuh dan kukuh.

Carilah olehmu kebahagiaan ukhrawi,
di samping tidak dilalaikan kesenangan duniawi.
Tiada harta jadi pusaka,
hanya al-Quran dan as-Sunnah
berupa pedoman dan panduan
petunjuk sepanjang jalan
untuk nanti kaukembali ke asal mula.

- BERITA MINGGU, 2001
Hulu Langat.

Jumaat, 5 September 2008

Puisi - TIKA MENYUSUR KE DAERAH RATIB


Tika menyusur ke daerah ratib
ratap melengkung di langitingat yang kujunjung.
Percikan sinar atma-Mu menjernih linglung sukmaku.
Gerakrasa menganyam doa putih
menambat taubat di bumihayat yang kujejak.
Insaf khilaf melarik waras pada batas tindak.
Dari akarsedar menjalar ke batangdiri menunjang
pohon nyali merimbun-rendang meredup keakuanku.
Dari darah mengarah ke tulang menegang ke daging-
mengental makna rahsia peragat-Mu, adalah keabadian
tak terjangkau dasar mindaku.
Hanya tali taqwa pengikat persoalan amanah-Mu!

- DEWAN SASTERA, Mac 1995

Rabu, 27 Ogos 2008

Makluman Kegiatan -PROGRAM MALAM APRESIASI PUISI DAN SENI BUDAYA GEMILANG KEMERDEKAAN KE-51

PERSATUAN Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Persatuan Penduduk Jalan Saga 7 (PESAGA 7), Taman Saga, Ampang dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) akan menganjurkan Malam Apresiasi Puisi dan Seni Budaya Gemilang Kemerdekaan Ke-51 (MAP&SBGKK51) seperti berikut ;
Tarikh : 29 Ogos 2008 (Jumaat)
Masa : 8:30 malam
Tempat : Auditorium MPAJ,
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),
Jalan Pandan Utama,
Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur.

Program bertemakan “Nasionalisme, Patriotisme dan Kemanusiaan” yang diadakan pada tahun kedua ini akan dirasmikan oleh Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, KPKKW.
Program ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada penduduk setempat terutama di daerah Ampang agar turut sama memperingati, menghargai dan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 yang jatuh pada 31 Ogos 2008 melalui genre bahasa dan sastera.
Menurut Ketua Satu KALAM, Sdr. Mohamad Daud Mohamad, “Melalui persembahan apresiasi puisi dan kebudayaan pelbagai kaum daripada penyair tanah air, tokoh VIP, artis, kumpulan, guru dan pelajar dalam program ini, diharapkan masyarakat dapat menghayati dan menghargai jerit-perih, sumbangan dan pengorbanan para pejuang negara dalam menegak dan mendaulatkan negara Malaysia tercinta ini.”
Antara penyair, artis dan kumpulan jemputan yang terlibat menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan pada malam tersebut ialah Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, Rahimidin Zahari, Siti Raihani Mohd. Saaid, Ayusari MJ, Harlym Yeo, Maitili a/p Muniyandy, Aishah (artis), Zubir Ali dan Kumpulan Harmoni (lagu puisi), Anjung Seni Bingkas Kebayan, Adik Muhd. Saifullah dan Adik Nur Syahirah Mattaib, Kelab Seni Budaya MPAJ, Kumpulan JS Dance, Majlis Guru Besar Ampang dan persembahan wakil-wakil sekolah daerah Ampang.
Selain daripada Dato’ Norliza Rofli (Ketua Pengarah, JKKN, KPKKW), tokoh kenamaan lain akan mendeklamasikan puisi ialah Dato’ Muhammad Yacob (Yang Dipertua MPAJ), Drs. Mohamad Daud Mohamad (Ketua Satu KALAM), Rozian Haji Mohd. Long (Pengerusi PESAGA 7) dan Ismail Musa (Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat).
Bersesuaian dengan semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51, semua hadirin dibekalkan bendera jalur gemilang dan akan bersama-sama peserta menyanyikan empat buah lagu antaranya Jalur Gemilang, Kerana Mu Malaysia, Saya Anak Malaysia dan 31 Ogos.
Semua penulis/penyair, penggiat budaya dan teater, pelajar, peminat bahasa dan sastera serta orang ramai berserta keluarga dipersilakan hadir ke program secara terbuka dan percuma. Hamper cabutan bertuah dan jamuan ringan disediakan kepada hadirin.

Sabtu, 16 Ogos 2008

Puisi - MASIH PUNYA


Masih punya ruang untuk kita
membebat luka yang rabak
-luka dicakar dosa silam
berparut di tubuh usia

Masih ada peluang buat kita
membasuh duka yang sebak
-duka dicalar noda hitam
berpinar di mata kalbu

Masih luas hamparan kesedaran
untuk kita semai benih insaf
menunjangi pohon iman

Masih rua segara amanah
untuk kita layari bahtera taqwa
merenangi lautan amal

(Beruntunglah si abid
yang meraut waktu
dengan sabar dan sadar
)

Selagi detik jantung masih berdetak
dan gernyut nadi masih berdenyut
-selagi itulah Tuhan telah meluang ruang
untuk kita bermuhasabah dan bermujahadah

Masih saja kita berargumantasi
dengan risalah Allah
meski kita punya kesempatan
yang silih ganti hari
kian sikit dan sakit!

- BERITA MINGGU, 2 Januari 2000

Selasa, 5 Ogos 2008

Makluman Kegiatan - PROGRAM GEMA MERDEKA DALAM BACA PUISI KUALA LUMPUR (GMDBPKL)

Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Program Siri Baca Puisi Kuala Lumpur Ke-5 2008 seperti butiran yang berikut:

Tarikh : 23 Ogos 2008 (Sabtu)
Masa : 08.30 malam – 10.30 malam
Tempat : Pentas Utama,
Auditorium DBKL,
Jalan Raja Laut,
50350 KUALA LUMPUR.
Konsep Program : Santai dan terbuka kepada umum.

Hos baca puisi pada program kali ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, manakala tokoh politik, VIP, penyair, artis/kumpulan sebagai tetamu undangan.
Peminat sastera dan budaya adalah dijemput hadir memeriahkan program berkenaan.

- Mohd. Taib Nordin (Mattaib Nordin), Setiausaha KALAM

Rabu, 30 Julai 2008

Puisi - SELAMAT ULANG TAHUN, DIRI


i)
Selamat ulangtahun diri
Semakin jauh melayari segara hari
sebetulnya semakin dekat kembali
ke pangkalan abadi. Sauh peristiwa
yang dibenam ke dasar masa, tidak bisa
dipunggah semula. Hanya jejak
kenangan berkarat di lubuk ingat.

ii)
Kudayungi perahu hidup mengharungi
segala rempuhan ombak keras dengan
bekalan semangat, kudrat dan munajat
menuju sisa usia yang lurus dan jurus
berpaksi kiblat hayat yang tepat. Aku
tidak bisa berpaling dari kompas hak.
Kupayungi jubah hayat mendepani
sekian rembesan hujan ujian deras
dengan akal waras dan batas cekal
menghadapi takdir getir bergilir
bertunjang kopiah iman yang aman.
Aku tidak bisa membiar pakaian kalbu
dicakar goda dan dicemar noda lagi.

iii)
Selamat ulangtahun, diri
Segala fikir kualirkan jernih
ke dalam diri mengisi ruang masa
yang sebentar saja.
Segala zikir kualurkan bersih
ke hadrat Ilahi memenuhi peluang usia
yang sekepal cuma.
Aku tidak bisa berpaling
dari kompas haq lagi.

- BERITA MINGGU, 24 Jun 2001

Khamis, 17 Julai 2008

Puisi - Sekeping Potret Selaut Kenangan (buat saudaraku yang lama tak bersua)

Saat kuselak album silam yang diam kusam
kutemui selaut kenangan bergentayangan
berombak sebak menyentuh pantai nurani
basah kakihari membekasi diari sanubari

Selaut kenangan yang dilayari bersama
meski deras masa memintas pantas
masih jua terasa baru, tersingkap haru
camar yang terbang di ruang mayapada
mencerita segala ceria lara
bianglala yang melukis di nilakandi langit
menghampar erti setia sahabat,erat merapat
belaian bayu yang menyenang tenang
gambaran tiada sengketa, tanda bahagia.

Sekeping potret tanpa kalimat kata
yang berbicara adalah selaut kenangan
yang mengharap pada tautan pertemuan.

- KanvasKarya, 14 Rejab 1429

[*Potret kenangan diambil pada 8 Disember 1983, bersama teman jawatankuasa persiapan pentas Hari Sastera 1983 di MPTI, Johor Bahru].

Ahad, 13 Julai 2008

Puisi - MUSIM MEMBENIH IMAN MUSLIM MEMBUAH AMAL


i
Hari demi hari berganti, kunanti dalam
sabar, bergetar debar. Agak lewat terasa
gawat, batini leka dan lena dalam pesona
pentas panas anganan 'syurga dunia' semata
-lara berjela. Kilasan gerak dan biasan
tindakku mudah linglung kesasar dari
haluan kiblat hayat yang lurus menjurus
hak mutlak. Maafkan aku Tuhan. Maafkan
aku, Tuhan. Maafkan, aku, Tuhan! Kesal
telah menimbun. Insaf telah merimbun.

ii
Hari demi hari aku bermandian harap di
sungai Rejab membersih diri, menyuci
rohani dalam takjub dan taksub tasauf.
Kubenam segala noda, sekian dosa ke dasar
pusar gusar masa. Segenap taubat berselirat
mampat membenteng tebing nurani
-pada aliran perirasa, kuwarasi getar hela nafas
-pada arusan perilaku, kubatasi genta hawa nafsu!

iii
Hari demi hari kupasak ibadat
kutegak munajat di daerah Syaaban
-aku menatap senang, moga angan
di nilakandi bakal terang
-aku meratap kenang, moga ingin
di mukahari kekal tenang!
Kuperteguhkan taqwa dalam iman
menyubur kebun amal.
Kuperteguhkan atma-Mu dalam jiwa
menumbuh pohon akmal.

iv
Ramadhan al-Mubarak daerah aman
musim membenih iman, muslim membuah
amal. serasa kita kian erat dekat merapat
meski sebelumnya aku begitu jauh
dan menjauh, menjarak sauh janji azali!

- Mingguan Malaysia, 8 Ogos 1993

Rabu, 2 Julai 2008

PUISI - POTRET SURI DI BINGKAI MIMPI


aku menatap garis ungu di latar waktu
ada kesan memori biru melukis nilakandi
ada pesan camar putih merintih segara
ombak seolah sebak menyentuh pantai kalbu
sketsa bianglala tergantung di hujung pulau
seakan mendung telah pecah dan hujan reda
yang terbekas hanya jejak lama yang lara.

- Dewan Sastera, September 1995

Selasa, 17 Jun 2008

PUISI - SEBELUM SEBERANGI DAERAH MALAM


(Surat Sirat Sebelum Kiamat)

Sebelum seberangi daerah malam, saudara
pastikan segala kelengkapan - agar
bahteramu belayar dengan tenang senang.
Rukun enam yang saudara tunjangi itu,
apakah sudah terpasak kukuh. Ataukah
masih goyah - mudah dicakar calar angin
anarki. Jika telah retak - perlu dibaikpulih.
Usah cemas, tapi awas, saudara. Waktu
masih senja, langit belum melabuh tirai
kelamnya. Bagaimana rukun lima - waad
yang diikrarkan sebelum mengemudi bahtera.
Cukupkah bekalan, buat menjamu para malak.
Mungkin perlu cepat dan tepat bertindak,
saudara. Kumpulkan harta, kerahkan tenaga -
seru Ibrahim masih bertebar di seluruh benua.
Sebelum pintu doa terapat ketat, insafi
lanjur khilaf langsungi taubat munajat.
Kompas hayatmu biar jarumnya menghala
haluan kiblat. Para daun dan pohon, bukit
dan gunung, sungai dan segara, serta mergastua
tentunya bertafakur - agar segala agitasi para
setan tidak menyongsang nawaitu saudara
ke pangkalan abadi!

- Mingguan Malaysia, 18 April 1993

Rabu, 21 Mei 2008

Puisi - SESEKALI BERJAUHAN [buat suriku]


Sesekali berjauhan, suriku
ada rindu berselirat erat
rasa kasih kukuh tertambat

Sesekali kita dipisah sempadan
jujurnya meruang diri bermuhasabah
-merenung luhurnya budimu, suri
-mengagumi tulusnya nurani
ibu kepada zuriatku

Biarpun sesekali gerimis menempias
namun bukan tangis ingkar engkau balas
kuhargai segala tindakanmu
kuukir di persada ingatanku

Semakin berpergian jauh, suri
sebenarnya kita kian dekat
kerinduan mengikat setia
kesetiaan menjalin luhur rasa.

- Tasek Kenyir,
17 Mei 2008 / 7.15 mlm

Isnin, 12 Mei 2008

Puisi - SEJAMBAK APOLOGI DAN DOA PUTIH BUAT ABAH

Saat menatap duka yang menghimpun di raut wajah abah, ada sesal yang merimbun di laman insaf : aku bukan seniman terbaik merawat audien yang lara - tidak seperti di zaman kanak, abah mereda tangisanku dengan kasih yang jela.

Saat meratap luka yang menimbun di tubuh hayat abah, ada sebak yang mengombak di kalbu pilu : aku bukan doktor terbaik mengubat patien yang parah - tidak seperti di zaman kanak, abah mengurus diriku dengan amanah yang tulus dan lurus.

Sememang kudrat abah yang diperah, alirnya menitis memanjangkan kenangan takjub.
Sememang keringat abah yang tercurah, basahnya mengalir ke kolam ingat mendalamkan hormat. Semestinya munajat abah yang diukir, membekasi pedoman sepanjang hayat.

(Maafkan anakmu, abah. Setelah usiamu meniti hari-hari senja, baru kukenali dan kukesani segala kerana anakmu juga telah bergelar abah!)

Sekalung doa putih kurangkaikan atas nirmala niatmu yang bersih mekar dan jernih segar ;
Semoga Allah menyembuh segala penyakitmu dengan makbul doa.
Semoga Allah merahmati kesihatanmu dengan berkat doa.
Semoga Allah memberkahi hayatmu dengan mardhatillah!

- Berita Minggu , 2 Januari 2000

[ Mengenang arwah abah yang menyahut seruan Ilahi tanggal 11 Julai 2006 ]

Ahad, 11 Mei 2008

Puisi - TAMAN UZLAH


di taman uzlah kunikmati terang firman
dari langit rahmat-Mu. hamparan subur
dan luas menjelas rahsia hidup yang redup.
pohon-pohon keyakinan merimbun
menunjang iman. daun-daun keinsafan
menimbun ke laman taqwa. bunga-bunga
perkasihan mengembang kuntuman doa.
jambangan zikir mekar dan mercup
mensyukuri tenang damai. haruman
tahmid merendang saujana indah permai.
kusedut udara hidayah mengenal makrifatullah.
kuhirup nyaman kolam-Mu mengharap mardhatillah!

- Dewan Sastera, Januari 1996

Jumaat, 9 Mei 2008

Puisi - MERAWAT KASIH

Merawat kasih umpama mengairi gersang
taman hati.
Kusedar rimbun rindu yang dulu mekar
menguntum
harumnya telah lama mati.
Kubiar kelopak jambak memori gugur
digugah titian hari
- berhari-hari menanti setia kembali
memagar segar.

Akan kuperah keringat hasrat dan
kukerah tindak wajar
pada batas waras, dan awas.

Nanti akan kaulihat dan kausemat
di mercu ingat ;
- bianglala kembali ceria
- segara kembali mengombak ria
- pulau harapan kita huni
dengan kudrat dan munajat.

Ahad, 4 Mei 2008

Puisi - SEKUNTUM MAAF (Buat Dik Ayna yang telah pergi..)


Kugubah jambangan insaf
atas segala khilaf

Betapa perahukataku terlanjur
kiniku berundur
menjemputmu kembali ceria
bersama mendayungi setia

Sememang kita sesama insan
berdepan hujan ujian Tuhan
demi memupuk persefahaman
dalam jalinan hubungan

Kutahu dirimu turut berduka
biarpun akulah yang terluka

Ayuh kita kembali memagar sabar
biarkan bebunga menguntum mekar
mewangi sepanjang jejak masa
harmoni sepanjang gerak rasa

Biarpun kita dipisahkan sempadan
Namun bicaramu sentiasa mendekatkan...

Kupetik sekuntum maaf
kuselitkan di rambutingatmu...

- puisi.com , 4 Rabiulakhir 1421

Isnin, 28 April 2008

Puisi - MENGGUBAH MUNAJAT

Amat payah dan lelah menggubah munajat kerana diri
kerap mungkir pada secangkir ikrar setia sejak azali. Betapa
kalimat-kalimat yang telah kuungkap dulu sering dipancung
godaan syaitan yang menanti di segenap ruang dan peluang
mencakar dan mencalar pintu iman yang longgar. Bersitan khilaf meninggalkan beban dan kesan yang mendalam suram ditikam tajam. Aduhai Rabbi, amat kerdil dan kecilku di mata-Mu dengan segala
cemar dan honar perilaku silamku. Segala insaf melangit di sekian pandangan. Segenap iman memacak di setiap rasa dan taqwa.
Kepada-Mu kupohon kasih dan kasihan mengharap rahmat jua berkat bagi tiap langkahan taubatku. Kepada-Mu kupinta ‘inayah jua hidayah menongkat kuat tiap gerak tindakku pada batas fikir dan waras zikirku. Kugubah munajat bersih dan jernih menghadap peragat hebat-Mu.
Kau-limpahkanlah maghfirah dan anugerahkanlah mardhatillah memancari rumah hayatku yang malap dan gelap. Amin!

- 28 Zulhijjah 1424

Puisi - MUHASABAH

Aku adalah pengembala yang bertuan Tuhan. Gembalaanku menggalas beban amanah risalah kebenaran mutlak dan berhak. Aku menapak hari dengan langkah yang awas. Kujejak gerak masa dengan akal yang waras. Sekejap nanar pasti goda kan cakar. Sebentar honar pasti noda kan calar. Aku mengharap sinar taufik memancari mata batini mengenal jernih pahala. Aku mendakap pedoman Quran memagari tebing nurani mengelak cemar dosa. Segala hasrat kupanjatkan di puncak munajat. Sekian doa putih kualirkan di sungai taubat dengan fikir dan zikir.

Tuhan, usah tinggalkan daku tanpa rahmat-Mu membiar diri bingung dan linglung.
Tuhan, jangan tanggalkan daku dari nikmat-Mu membuat diri akur dan syukur.
Tuhan, pimpini daku dengan tongkat hidayah-Mu agar jalanku lurus dan tulus.
Tuhan, bimbingi daku dengan mardhatillah moga pengembalaanku tetap selamat!

- Berita Minggu, 2 Januari 2000