Bermula 21 November lalu hingga 2 Disember ini, teater CINTA JULIA dipentaskan di Stor Teater DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
Hasil karya sdr Iryanda Mulia Ramly ini menguji kemampuan pelakon Fauziah Nawi beraksi secara solo selama sejam.
Dalam usia menghampiri 56 tahun, ternyata Fauziah Nawi membuktikan betapa berbakatnya beliau dalam membawa kepelbagaian watak yang mampu menyentuh dan mencuit perasaan.
Penonton akan turut dibuai rasa gundah, marah, hiba, sedih pedih, dan tidak kurang juga ada tawa dan ceria dalam menghayati watak yang dibawakan beliau.
Terkandung banyak mesej- sebenarnya - dalam luahan dialog yang disuarakan oleh Fauziah Nawi dengan begitu tegas jelas, lancar, sayu tapi kemas. Bukan sekadar itu, tetapi beliau turut menyerlahkan kemampuannya menyanyi, di samping menari dalam irama yang amat cocok pergerakannya.
(*Ketiga-tiga foto di atas diambil daripada http://audiiwana.blogspot.com - Terima kasih buat sdri Ryann)
Tidak perlu ruang luas, cukup sekadar pentas kecil bagi Fauziah Nawi melakonkan teater ini dengan berkesan, dekat dan berbekas di jiwa penonton. Kesempatan saya menonton teater CINTA JULIA (malam tadi) membuatkan saya membuat satu kesimpulan- Fauziah Nawi sememangnya seorang pelakon yang paling hebat!
*Foto menunjukkan 3 orang pembaca berita TV1 bergambar kenangan dengan Fauziah Nawi
Ayuh, bersama menontonnya!