Rabu, 27 Ogos 2008

Makluman Kegiatan -PROGRAM MALAM APRESIASI PUISI DAN SENI BUDAYA GEMILANG KEMERDEKAAN KE-51

PERSATUAN Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Persatuan Penduduk Jalan Saga 7 (PESAGA 7), Taman Saga, Ampang dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) akan menganjurkan Malam Apresiasi Puisi dan Seni Budaya Gemilang Kemerdekaan Ke-51 (MAP&SBGKK51) seperti berikut ;
Tarikh : 29 Ogos 2008 (Jumaat)
Masa : 8:30 malam
Tempat : Auditorium MPAJ,
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),
Jalan Pandan Utama,
Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur.

Program bertemakan “Nasionalisme, Patriotisme dan Kemanusiaan” yang diadakan pada tahun kedua ini akan dirasmikan oleh Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, KPKKW.
Program ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada penduduk setempat terutama di daerah Ampang agar turut sama memperingati, menghargai dan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 yang jatuh pada 31 Ogos 2008 melalui genre bahasa dan sastera.
Menurut Ketua Satu KALAM, Sdr. Mohamad Daud Mohamad, “Melalui persembahan apresiasi puisi dan kebudayaan pelbagai kaum daripada penyair tanah air, tokoh VIP, artis, kumpulan, guru dan pelajar dalam program ini, diharapkan masyarakat dapat menghayati dan menghargai jerit-perih, sumbangan dan pengorbanan para pejuang negara dalam menegak dan mendaulatkan negara Malaysia tercinta ini.”
Antara penyair, artis dan kumpulan jemputan yang terlibat menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan pada malam tersebut ialah Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, Rahimidin Zahari, Siti Raihani Mohd. Saaid, Ayusari MJ, Harlym Yeo, Maitili a/p Muniyandy, Aishah (artis), Zubir Ali dan Kumpulan Harmoni (lagu puisi), Anjung Seni Bingkas Kebayan, Adik Muhd. Saifullah dan Adik Nur Syahirah Mattaib, Kelab Seni Budaya MPAJ, Kumpulan JS Dance, Majlis Guru Besar Ampang dan persembahan wakil-wakil sekolah daerah Ampang.
Selain daripada Dato’ Norliza Rofli (Ketua Pengarah, JKKN, KPKKW), tokoh kenamaan lain akan mendeklamasikan puisi ialah Dato’ Muhammad Yacob (Yang Dipertua MPAJ), Drs. Mohamad Daud Mohamad (Ketua Satu KALAM), Rozian Haji Mohd. Long (Pengerusi PESAGA 7) dan Ismail Musa (Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat).
Bersesuaian dengan semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51, semua hadirin dibekalkan bendera jalur gemilang dan akan bersama-sama peserta menyanyikan empat buah lagu antaranya Jalur Gemilang, Kerana Mu Malaysia, Saya Anak Malaysia dan 31 Ogos.
Semua penulis/penyair, penggiat budaya dan teater, pelajar, peminat bahasa dan sastera serta orang ramai berserta keluarga dipersilakan hadir ke program secara terbuka dan percuma. Hamper cabutan bertuah dan jamuan ringan disediakan kepada hadirin.

Sabtu, 16 Ogos 2008

Puisi - MASIH PUNYA


Masih punya ruang untuk kita
membebat luka yang rabak
-luka dicakar dosa silam
berparut di tubuh usia

Masih ada peluang buat kita
membasuh duka yang sebak
-duka dicalar noda hitam
berpinar di mata kalbu

Masih luas hamparan kesedaran
untuk kita semai benih insaf
menunjangi pohon iman

Masih rua segara amanah
untuk kita layari bahtera taqwa
merenangi lautan amal

(Beruntunglah si abid
yang meraut waktu
dengan sabar dan sadar
)

Selagi detik jantung masih berdetak
dan gernyut nadi masih berdenyut
-selagi itulah Tuhan telah meluang ruang
untuk kita bermuhasabah dan bermujahadah

Masih saja kita berargumantasi
dengan risalah Allah
meski kita punya kesempatan
yang silih ganti hari
kian sikit dan sakit!

- BERITA MINGGU, 2 Januari 2000

Selasa, 5 Ogos 2008

Makluman Kegiatan - PROGRAM GEMA MERDEKA DALAM BACA PUISI KUALA LUMPUR (GMDBPKL)

Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Program Siri Baca Puisi Kuala Lumpur Ke-5 2008 seperti butiran yang berikut:

Tarikh : 23 Ogos 2008 (Sabtu)
Masa : 08.30 malam – 10.30 malam
Tempat : Pentas Utama,
Auditorium DBKL,
Jalan Raja Laut,
50350 KUALA LUMPUR.
Konsep Program : Santai dan terbuka kepada umum.

Hos baca puisi pada program kali ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, manakala tokoh politik, VIP, penyair, artis/kumpulan sebagai tetamu undangan.
Peminat sastera dan budaya adalah dijemput hadir memeriahkan program berkenaan.

- Mohd. Taib Nordin (Mattaib Nordin), Setiausaha KALAM

Rabu, 30 Julai 2008

Puisi - SELAMAT ULANG TAHUN, DIRI


i)
Selamat ulangtahun diri
Semakin jauh melayari segara hari
sebetulnya semakin dekat kembali
ke pangkalan abadi. Sauh peristiwa
yang dibenam ke dasar masa, tidak bisa
dipunggah semula. Hanya jejak
kenangan berkarat di lubuk ingat.

ii)
Kudayungi perahu hidup mengharungi
segala rempuhan ombak keras dengan
bekalan semangat, kudrat dan munajat
menuju sisa usia yang lurus dan jurus
berpaksi kiblat hayat yang tepat. Aku
tidak bisa berpaling dari kompas hak.
Kupayungi jubah hayat mendepani
sekian rembesan hujan ujian deras
dengan akal waras dan batas cekal
menghadapi takdir getir bergilir
bertunjang kopiah iman yang aman.
Aku tidak bisa membiar pakaian kalbu
dicakar goda dan dicemar noda lagi.

iii)
Selamat ulangtahun, diri
Segala fikir kualirkan jernih
ke dalam diri mengisi ruang masa
yang sebentar saja.
Segala zikir kualurkan bersih
ke hadrat Ilahi memenuhi peluang usia
yang sekepal cuma.
Aku tidak bisa berpaling
dari kompas haq lagi.

- BERITA MINGGU, 24 Jun 2001

Khamis, 17 Julai 2008

Puisi - Sekeping Potret Selaut Kenangan (buat saudaraku yang lama tak bersua)

Saat kuselak album silam yang diam kusam
kutemui selaut kenangan bergentayangan
berombak sebak menyentuh pantai nurani
basah kakihari membekasi diari sanubari

Selaut kenangan yang dilayari bersama
meski deras masa memintas pantas
masih jua terasa baru, tersingkap haru
camar yang terbang di ruang mayapada
mencerita segala ceria lara
bianglala yang melukis di nilakandi langit
menghampar erti setia sahabat,erat merapat
belaian bayu yang menyenang tenang
gambaran tiada sengketa, tanda bahagia.

Sekeping potret tanpa kalimat kata
yang berbicara adalah selaut kenangan
yang mengharap pada tautan pertemuan.

- KanvasKarya, 14 Rejab 1429

[*Potret kenangan diambil pada 8 Disember 1983, bersama teman jawatankuasa persiapan pentas Hari Sastera 1983 di MPTI, Johor Bahru].

Ahad, 13 Julai 2008

Puisi - MUSIM MEMBENIH IMAN MUSLIM MEMBUAH AMAL


i
Hari demi hari berganti, kunanti dalam
sabar, bergetar debar. Agak lewat terasa
gawat, batini leka dan lena dalam pesona
pentas panas anganan 'syurga dunia' semata
-lara berjela. Kilasan gerak dan biasan
tindakku mudah linglung kesasar dari
haluan kiblat hayat yang lurus menjurus
hak mutlak. Maafkan aku Tuhan. Maafkan
aku, Tuhan. Maafkan, aku, Tuhan! Kesal
telah menimbun. Insaf telah merimbun.

ii
Hari demi hari aku bermandian harap di
sungai Rejab membersih diri, menyuci
rohani dalam takjub dan taksub tasauf.
Kubenam segala noda, sekian dosa ke dasar
pusar gusar masa. Segenap taubat berselirat
mampat membenteng tebing nurani
-pada aliran perirasa, kuwarasi getar hela nafas
-pada arusan perilaku, kubatasi genta hawa nafsu!

iii
Hari demi hari kupasak ibadat
kutegak munajat di daerah Syaaban
-aku menatap senang, moga angan
di nilakandi bakal terang
-aku meratap kenang, moga ingin
di mukahari kekal tenang!
Kuperteguhkan taqwa dalam iman
menyubur kebun amal.
Kuperteguhkan atma-Mu dalam jiwa
menumbuh pohon akmal.

iv
Ramadhan al-Mubarak daerah aman
musim membenih iman, muslim membuah
amal. serasa kita kian erat dekat merapat
meski sebelumnya aku begitu jauh
dan menjauh, menjarak sauh janji azali!

- Mingguan Malaysia, 8 Ogos 1993

Rabu, 2 Julai 2008

PUISI - POTRET SURI DI BINGKAI MIMPI


aku menatap garis ungu di latar waktu
ada kesan memori biru melukis nilakandi
ada pesan camar putih merintih segara
ombak seolah sebak menyentuh pantai kalbu
sketsa bianglala tergantung di hujung pulau
seakan mendung telah pecah dan hujan reda
yang terbekas hanya jejak lama yang lara.

- Dewan Sastera, September 1995