Jumaat, 24 April 2009

AYUH, KITA TONTON 'MAHSURI'!


Pertamanya, saya ingin mengungkapkan ucapan 'SEKUNTUM TERIMA KASIH' buat dik Ryann (http://audiiwana.blogspot.com)- atas jemputan ke majlis pratonton teater 'Mahsuri', bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya pada 23 April semalam.

Jika sebelum ini saya hanya menonton kak Fauziah berlakon- drama dan teater, tapi ini julung kalinya saya berpeluang menikmati hasil pengarahannya. Atas keyakinan dan kekaguman terhadap karisma yang dimiliki beliau dalam dunia lakonan, saya sememang teruja menyaksikan teater ini.

Saya tidak berhasrat mengulas tentang penceritaan- hasil skrip Rahimidin Zahari itu. Kerana secara peribadi, ada kala penghayatan terhadap penceritaan terganggu oleh 'ketidakjelasan' dialog penutur sesetengah watak, kesan dari sistem audio yang perlu diperbaiki untuk hari-hari pementasan berikutnya.

Namun, saya amat kagum dengan kelancaran cerita dari babak ke babak, dengan dibantu latar set pentas yang amat menarik, cantik, sesuai dengan latar masa penceritaan, selain irama lagu yang membuai keseronokan menonton. Untuk itu, saya 'salute' pengarah artistiknya, Irwan Ismadi, Mohd. Yazid Zakaria (Pengarah Muzik), Iryanda Mulia (Komposer) dan Adam Corrie (Koreografer). Tidak ketinggalan, Poizi Nawi, koreografer persilatan -yang berjaya menonjolkan seni silat Melayu, lambang dan tunjang keperwiraan bangsa.

Teater arahan kak Fauziah juga memberi impak di jiwa penonton melalui watak-watak yang dibawa Sabera Shaik (Wan Mahura), Cico Harahap, selain tentunya pelakon wanita terbaik Vanida Imran sebagai Mahsuri. Watak-watak sampingan juga dirasakan tidak menghampakan. Syabas kepada Stefani!

"Wah..Puas! Boleh gi lagi!"
-teman saya meluah kepuasannya setelah selesai menonton.

Ayuh, saudara. Kita tonton Mahsuri!
(Dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, pada 24-30 April 2009, jam 8.30 malam)

*Amiluddin tidak melepas peluang bergambar kenangan dengan pelakon Abu Bakar Omar


* Kesempatan berbual dengan Kak Uji Rashid, lagu-lagunya mengenangkan saya pada zaman persekolahan rendah..

Khamis, 26 Mac 2009

SEBUAH CERITA PENDEK - SELEPAS DIBALING KASUT


SELEPAS insiden dibaling kasut tempoh hari, dia menghilangkan diri. Ramai yang tertanya-tanya, di mana gerangan dirinya ? Orang bawahan dan seluruh warga kementeriannya hanya mengatakan dia bercuti seminggu. Tidak mahu dihubungi. Tidak perlu sms atau calling-calling.

Seminggu kelibatnya tidak dikesan. Seminggu itu juga keluarganya juga terputus hubungan. Tidak tahu di mana dia menyembunyikan diri. Tidak dengar khabar berita. Tidak dengar bicara mahupun panggilan daripadanya. Hidupkah lagi, ataukah sudah berkalang tanah?

Sebenarnya seminggu itu, dia sedang beruzlah- mengasingkan diri daripada orang lain. Dia bertujuan memuhasabah diri. Dia ingin menilai baik buruk dirinya, sepanjang mencurah bakti kepada masyarakat dan Negara. Paling penting, adakah tanggungjawab yang terpikul di pundaknya itu, telah digalas dengan penuh amanah, dedikasi dan sememang berguna serta bermakna kepada setiap insan bergelar pelajar. Insan bergelar pelajar yang akan memimpin negara suatu hari nanti.

Belum terlihat keberkesanan Rancangan Besar Asuhan Negara (RABAN), kerana memakan masa 5 tahun. Kini dia dihadapkan dengan isu semasa yang amat mencabar kesetiaan dan kesungguhannya terhadap kementerian yang diterajuinya.

Insiden dibaling kasut tempoh hari adalah manifestasi kemarahan orang-orang kampung yang telah lama terpendam. Anak-anak mereka adalah mangsa sistem Pembelajaran Perkara Penting Bahasa Asing (PEBABAS). Anak-anak mereka diajar dan diasuh dengan perkara-perkara penting dengan menggunakan Bahasa Asing. Natijahnya, mereka gagal, ketinggalan dibandingkan dengan bangsa lain.

Tidak cukup dengan kesannya terhadap anak-anak bumiputera, golongan pejuang Bahasa Ibunda turut meluah kemarahan terhadap kementeriannya yang seolah mengutamakan Bahasa Asing, seraya memperendahkan martabat Bahasa Ibunda sendiri.

Cuma, golongan pejuang Bahasa Ibunda merupakan golongan intelek yang berusaha menyuarakan perjuangan mereka dalam nada lebih lembut demi mengekalkan hubungan baik antara pertubuhan mereka dengan kementeriannya yang dianggap payung –sebenarnya- demi kelangsungan memartabatkan bahasa Ibunda untuk jangka panjang.

Mereka tidak sesekali akan menunjukkan kemarahan dengan menggunakan kanak-kanak, ataupun lebih teruk daripada itu- menganjurkan demonstrasi berbogel! Tidak. Mereka tidak akan bertindak kurang cerdik seperti itu!

Kini pejuang Bahasa Ibunda masing-masing sudah senyap. Senyap untuk melihat, seterusnya menilai apa tindakan yang akan dia ambil untuk menyelesaikan isu terbabit. Golongan yang merasakan PEBABAS merugikan anak-anak mereka untuk jangka panjang, sememang tidak bersedia menerima hasrat PEBABAS diteruskan.
Sebaliknya, golongan yang pro-PEBABAS tidak melihatnya dari sudut negatif berdasarkan perpekstif mangsa keadaan. Mereka melihat dari kacamata material barangkali, atau yang terbit daripada hasil pendidikan barat mereka. Itu tanggapan daripada pejuang Bahasa Ibunda, antaranya.

Dia masih menghitung satu persatu cabaran yang dilaluinya sebelum ini.

Terbaru, ada saranan agar semua yang bergelar ‘pelajar’, menikmati hanya satu aliran pendidikan. Tidak ada sekolah jenis tuantanah. Tidak ada sekolah jenis pendatang. Tidak ada sekolah jenis penjajah. Semua akan belajar di bawah satu sistem, satu aliran. Ini dikatakan mampu memupuk semangat perpaduan antara rakyat Negara yang berbilang kaum.

Isu yang dibangkitkan oleh seorang wakil rakyat, yang juga rakan baiknya, sedikit sebanyak menambah pening dan menyebabkan migraine kembali menyerangnya. Ramai yang pro, tidak kurang yang kontra.

Golongan yang cintakan keamanan, yang sayangkan hubungan harmoni antara kaum, sememang bersetuju sangat dengan cadangan rakannya itu. Manakala yang cintakan kepentingan sendiri, yang sayangkan monopoli yang sedia dikaut, bangkit menentang bersungguh-sungguh. Bagi mereka, kejayaan dan kekayaan tidak boleh dikongsi.

Dia termenung panjang melihat semua itu dengan mata zahir. Dia merenung buruk baik segalanya itu dengan mata batin. Dia ingin menggunakan neraca keputusannya itu dengan adil, agar lambang keadilan yang dibawakan parti pemerintahnya bukan, sekadar lambang.

Kini segala keputusan di tanganfikirnya, menjadi penentu sama ada para penentang akan mahu turut bersama merealisasikan aspirasi kementerian untuk memajudayakan anak bangsa. Atau sebaliknya, mereka tetap kekal menentang dan bersedia untuk membaling lebih banyak kasut ke arahnya- demi menyelamatkan masa depan anak bangsa agar tidak terus tercicir…

Sabtu, 7 Mac 2009

BELASUNGKAWA - kanda ZUBIR ALI


Selepas solat Jumaat di Masjid Jameq Jami'ul Ehsan, Setapak, dalam perjalanan mengambil anak di sekolah teknik berdekatan, saya terdengar berita pemergian kanda Zubir Ali, melalui siaran radio IKIM.

Terkejut sejenak. Tidak kedengaran beliau menghidap penyakit kronik sebelum ini. Maklumat yang diterima, beliau meninggal dunia sekitar jam 11.00 pagi ini di Hospital Pakar Damansara selepas menjalani pembedahan jantung.
Allahyarham Zubir, 58, meninggalkan seorang balu dan tiga orang zuriat.

Saya terkenang kali terakhir berpeluang makan bersama arwah, di Oditorium DBKL, sewaktu beliau akan membuat persembahan (lagu puisi) pada Majlis Baca Puisi Gema Merdeka tahun lepas. Biarpun kelihatan dari luaran beliau seorang yang pendiam, namun cepat mesra setelah mula berbual.

Kehadiran beliau bersama kumpulan Harmoni di awal 80an dulu, berjaya menyemarakkan minat kepada lagu-lagu puisi. Lagu seperti Penantian, Nyanyian Ombak, Balada Seorang Gadis Kecil dll, masih berbekas dan tetap nostalgik.

Sejambak TAKZIAH buat keluarga allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah, serta ditempatkan di sisi orang-orang yang soleh..

al-Fatihah

Khamis, 12 Februari 2009

MAKLUMAN - SAYEMBARA FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI UTM-KUMPULAN UTUSAN



Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan telah menganjurkan Sayembara Novel Cereka Sains dan Teknologi peringkat Kebangsaan 2008. Penghantaran penyertaan telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2009.

Sayembara ini bertujuan untuk meningkatkan dan menggalakkan manipulasi daya cipta, kreativiti, dan motivasi dalam kalangan pelajar IPT tempatan, tenaga pengajar khasnya, dan rakyat Malaysia secara umumnya.

Hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang antaranya tempat pertama dengan hadiah wang tunai RM 15,000.00, tempat kedua RM7,500.00, tempat ketiga RM 5,000.00 manakala lima pemenang hadiah saguhati akan menerima wang tunai setiap seorang RM 2,500.00. Kesemua pemenang hadiah utama dan saguhati akan turut menerima watikah dan trofi.

Selain itu, karya yang menang juga akan diterbitkan oleh pihak Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan sayembara ini bolehlah menghubungi saudara Yosman Mohd Bain dari Penerbit UTM Press di talian 07-5218166 / 019-7557760 atau saudara Rozlan Mohamed Noor dari Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd editor@minister.com

[ Sumber daripada http://celikhuruf.blogspot.com ]

Rabu, 4 Februari 2009

MAKLUMAN - KEPADA AHLI KALAM

Dimaklumkan bahawa unit penerbitan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) akan menerbitkan buletin pertama bagi tahun 2009. Oleh itu semua ahli KALAM adalah diminta untuk menghantarkan karya berupa puisi, cerpen, berita dll untuk tujuan tersebut.

Segala bahan berkenaan perlu dihantar kepada sdr Abdullah Shuib, editorial KALAM, di alamat :- 74, Jalan 1, Selayang Pandang, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Buletin pertama dijangka diterbitkan pada bulan Mac 2009. Harap maklum.

(Permohonan untuk menjadi ahli KALAM juga boleh dibuat dengan menghubungi beliau, atau terus berhubung dengan sdr Mattaib Nordin, Setiausaha Kehormat KALAM di talian 012-3713765)

Isnin, 19 Januari 2009

PUISI - KUNTUMAN DOA BUAT PALESTINA


Kerana kami kasihkan keamanan, Tuhan
Kerana kami sayangkan keharmonian, Tuhan
Kerana kami cintakan kebahagiaan, Tuhan

Lalu
Engkau perkenankanlah permohonanan kami.

Selamatkanlah hamba-hamba-Mu yang lemah dan lelah
ditindas kaum zionis yang selalu ingkar dan mungkar
Selamatkanlah anak-anak kecil yang derita sengsara
dizalimi yahudi yang teguh angkuh dan bongkak
Selamatkanlah insan-insan yang tidak bersalah
daripada tangan-tangan yang merenggut kehidupan mereka

Pimpin dan bimbinglah hamba-hamba-Mu yang lemah dan lelah
dengan payung kesabaran dan ketabahan menerima hujan ujian-Mu
Pimpin dan bimbinglah anak-anak kecil yang derita sengsara
dengan lentera keimanan dan ketaqwaan menghadapi musibah-Mu
Pimpin dan bimbinglah insan-insan yang tidak bersalah
dengan rahmat keberkatan-Mu menikmati kehidupan serba baru.

Kerana kami kasihkan keamanan, Tuhan
Kerana kami sayangkan keharmonian, Tuhan
Kerana kami cintakan kebahagiaan, Tuhan

Lalu
Engkau perkenankanlah permohonanan kami.

- KanvasKarya, Muharram 1430

Ahad, 21 Disember 2008

AHLI JAWATANKUASA KERJA KALAM SESI 2008-2010


*Pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) telah dibuat dalam Mesyuarat Agung KALAM Kali Ke-14, bertempat di Dewan Seminar, Menara DBP, Kuala Lumpur, pada 21 Disember 2008.

Senarai Ahli Jawatankuasa Kerja KALAM (sesi 2008-2010) adalah seperti berikut ;

Ketua 1 : Sdr Mohamad Daud Mohamad
Ketua 11 : Sdr Mansor Abu Bakar

Setiausaha 1 : Sdr Mohd. Taib Nordin (Mattaib Nordin)
Setiausaha 11 : Sdr Muhamad Ikhram Fadhly Hussin

Bendahari : Sdr Hassan Abdul Majid

Ahli Jawatankuasa ;
Sdr Zainal palit (Zaen Kasturi)
Sdr Adlan Mohd. Ali (Chulan Chin)
Sdr Abdul Ghafar Bahari (Gopa)
Sdr Abdullah Shuib


Pemeriksa Kira-kira ;
Sdr Ritah Yahaya
Sdr Zahani Ismail



*Ketua 1 - Sdr MOHAMAD DAUD MOHAMAD


*Ketua 11 - Sdr MANSOR ABU BAKAR


*Setiausaha 1 - Sdr MATTAIB NORDIN


*Setiausaha 11 - Sdr MUHAMMAD IKHRAM FADHLY HUSSIN


*Bendahari - Sdr HASSAN ABDUL MAJID


*AJK - Sdr ZAEN KASTURI


*AJK - Sdr CHULAN CHIN


*AJK - Sdr GOPA


*AJK - Sdr ABDULLAH SHUIB


*Pemeriksa Kira-Kira 1 - Sdr RITAH YAHAYA

(Tiada gambar- Pemeriksa Kira-kira 2 - Sdr ZAHANI ISMAIL)