Amat payah dan lelah menggubah munajat kerana diri
kerap mungkir pada secangkir ikrar setia sejak azali. Betapa
kalimat-kalimat yang telah kuungkap dulu sering dipancung
godaan syaitan yang menanti di segenap ruang dan peluang
mencakar dan mencalar pintu iman yang longgar. Bersitan khilaf meninggalkan beban dan kesan yang mendalam suram ditikam tajam. Aduhai Rabbi, amat kerdil dan kecilku di mata-Mu dengan segala
cemar dan honar perilaku silamku. Segala insaf melangit di sekian pandangan. Segenap iman memacak di setiap rasa dan taqwa.
Kepada-Mu kupohon kasih dan kasihan mengharap rahmat jua berkat bagi tiap langkahan taubatku. Kepada-Mu kupinta ‘inayah jua hidayah menongkat kuat tiap gerak tindakku pada batas fikir dan waras zikirku. Kugubah munajat bersih dan jernih menghadap peragat hebat-Mu.
Kau-limpahkanlah maghfirah dan anugerahkanlah mardhatillah memancari rumah hayatku yang malap dan gelap. Amin!
- 28 Zulhijjah 1424
Tiada ulasan:
Catat Ulasan