Jumaat, 24 April 2009

AYUH, KITA TONTON 'MAHSURI'!


Pertamanya, saya ingin mengungkapkan ucapan 'SEKUNTUM TERIMA KASIH' buat dik Ryann (http://audiiwana.blogspot.com)- atas jemputan ke majlis pratonton teater 'Mahsuri', bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya pada 23 April semalam.

Jika sebelum ini saya hanya menonton kak Fauziah berlakon- drama dan teater, tapi ini julung kalinya saya berpeluang menikmati hasil pengarahannya. Atas keyakinan dan kekaguman terhadap karisma yang dimiliki beliau dalam dunia lakonan, saya sememang teruja menyaksikan teater ini.

Saya tidak berhasrat mengulas tentang penceritaan- hasil skrip Rahimidin Zahari itu. Kerana secara peribadi, ada kala penghayatan terhadap penceritaan terganggu oleh 'ketidakjelasan' dialog penutur sesetengah watak, kesan dari sistem audio yang perlu diperbaiki untuk hari-hari pementasan berikutnya.

Namun, saya amat kagum dengan kelancaran cerita dari babak ke babak, dengan dibantu latar set pentas yang amat menarik, cantik, sesuai dengan latar masa penceritaan, selain irama lagu yang membuai keseronokan menonton. Untuk itu, saya 'salute' pengarah artistiknya, Irwan Ismadi, Mohd. Yazid Zakaria (Pengarah Muzik), Iryanda Mulia (Komposer) dan Adam Corrie (Koreografer). Tidak ketinggalan, Poizi Nawi, koreografer persilatan -yang berjaya menonjolkan seni silat Melayu, lambang dan tunjang keperwiraan bangsa.

Teater arahan kak Fauziah juga memberi impak di jiwa penonton melalui watak-watak yang dibawa Sabera Shaik (Wan Mahura), Cico Harahap, selain tentunya pelakon wanita terbaik Vanida Imran sebagai Mahsuri. Watak-watak sampingan juga dirasakan tidak menghampakan. Syabas kepada Stefani!

"Wah..Puas! Boleh gi lagi!"
-teman saya meluah kepuasannya setelah selesai menonton.

Ayuh, saudara. Kita tonton Mahsuri!
(Dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, pada 24-30 April 2009, jam 8.30 malam)

*Amiluddin tidak melepas peluang bergambar kenangan dengan pelakon Abu Bakar Omar


* Kesempatan berbual dengan Kak Uji Rashid, lagu-lagunya mengenangkan saya pada zaman persekolahan rendah..