Rabu, 27 Ogos 2008

Makluman Kegiatan -PROGRAM MALAM APRESIASI PUISI DAN SENI BUDAYA GEMILANG KEMERDEKAAN KE-51

PERSATUAN Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Persatuan Penduduk Jalan Saga 7 (PESAGA 7), Taman Saga, Ampang dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) akan menganjurkan Malam Apresiasi Puisi dan Seni Budaya Gemilang Kemerdekaan Ke-51 (MAP&SBGKK51) seperti berikut ;
Tarikh : 29 Ogos 2008 (Jumaat)
Masa : 8:30 malam
Tempat : Auditorium MPAJ,
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),
Jalan Pandan Utama,
Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur.

Program bertemakan “Nasionalisme, Patriotisme dan Kemanusiaan” yang diadakan pada tahun kedua ini akan dirasmikan oleh Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, KPKKW.
Program ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada penduduk setempat terutama di daerah Ampang agar turut sama memperingati, menghargai dan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 yang jatuh pada 31 Ogos 2008 melalui genre bahasa dan sastera.
Menurut Ketua Satu KALAM, Sdr. Mohamad Daud Mohamad, “Melalui persembahan apresiasi puisi dan kebudayaan pelbagai kaum daripada penyair tanah air, tokoh VIP, artis, kumpulan, guru dan pelajar dalam program ini, diharapkan masyarakat dapat menghayati dan menghargai jerit-perih, sumbangan dan pengorbanan para pejuang negara dalam menegak dan mendaulatkan negara Malaysia tercinta ini.”
Antara penyair, artis dan kumpulan jemputan yang terlibat menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan pada malam tersebut ialah Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, Rahimidin Zahari, Siti Raihani Mohd. Saaid, Ayusari MJ, Harlym Yeo, Maitili a/p Muniyandy, Aishah (artis), Zubir Ali dan Kumpulan Harmoni (lagu puisi), Anjung Seni Bingkas Kebayan, Adik Muhd. Saifullah dan Adik Nur Syahirah Mattaib, Kelab Seni Budaya MPAJ, Kumpulan JS Dance, Majlis Guru Besar Ampang dan persembahan wakil-wakil sekolah daerah Ampang.
Selain daripada Dato’ Norliza Rofli (Ketua Pengarah, JKKN, KPKKW), tokoh kenamaan lain akan mendeklamasikan puisi ialah Dato’ Muhammad Yacob (Yang Dipertua MPAJ), Drs. Mohamad Daud Mohamad (Ketua Satu KALAM), Rozian Haji Mohd. Long (Pengerusi PESAGA 7) dan Ismail Musa (Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat).
Bersesuaian dengan semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51, semua hadirin dibekalkan bendera jalur gemilang dan akan bersama-sama peserta menyanyikan empat buah lagu antaranya Jalur Gemilang, Kerana Mu Malaysia, Saya Anak Malaysia dan 31 Ogos.
Semua penulis/penyair, penggiat budaya dan teater, pelajar, peminat bahasa dan sastera serta orang ramai berserta keluarga dipersilakan hadir ke program secara terbuka dan percuma. Hamper cabutan bertuah dan jamuan ringan disediakan kepada hadirin.

Sabtu, 16 Ogos 2008

Puisi - MASIH PUNYA


Masih punya ruang untuk kita
membebat luka yang rabak
-luka dicakar dosa silam
berparut di tubuh usia

Masih ada peluang buat kita
membasuh duka yang sebak
-duka dicalar noda hitam
berpinar di mata kalbu

Masih luas hamparan kesedaran
untuk kita semai benih insaf
menunjangi pohon iman

Masih rua segara amanah
untuk kita layari bahtera taqwa
merenangi lautan amal

(Beruntunglah si abid
yang meraut waktu
dengan sabar dan sadar
)

Selagi detik jantung masih berdetak
dan gernyut nadi masih berdenyut
-selagi itulah Tuhan telah meluang ruang
untuk kita bermuhasabah dan bermujahadah

Masih saja kita berargumantasi
dengan risalah Allah
meski kita punya kesempatan
yang silih ganti hari
kian sikit dan sakit!

- BERITA MINGGU, 2 Januari 2000

Selasa, 5 Ogos 2008

Makluman Kegiatan - PROGRAM GEMA MERDEKA DALAM BACA PUISI KUALA LUMPUR (GMDBPKL)

Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Program Siri Baca Puisi Kuala Lumpur Ke-5 2008 seperti butiran yang berikut:

Tarikh : 23 Ogos 2008 (Sabtu)
Masa : 08.30 malam – 10.30 malam
Tempat : Pentas Utama,
Auditorium DBKL,
Jalan Raja Laut,
50350 KUALA LUMPUR.
Konsep Program : Santai dan terbuka kepada umum.

Hos baca puisi pada program kali ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, manakala tokoh politik, VIP, penyair, artis/kumpulan sebagai tetamu undangan.
Peminat sastera dan budaya adalah dijemput hadir memeriahkan program berkenaan.

- Mohd. Taib Nordin (Mattaib Nordin), Setiausaha KALAM