Ahad, 12 Julai 2009

YUK, PAKAT PI TENGOK 'INTAN YANG TERCANAI'. 12 JULAI, HARI TERAKHIR!

Saja saya tuliskan tajuk entri begitu!

Sememang, Ahad - 12 Julai, teater arahan A.Wahab Hamzah ini akan dipentaskan buat hari kelima dan terakhir. Bagi yang belum menontonnya, harap berusaha luangkan masa untuk menikmati karya Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan ini.

Saya tidak berhasrat untuk mengemukakan sinopsis mahupun komentar berkaitan cerita yang dipaparkan itu, kerana berita dan cerita mengenainya telah beberapa kali disiarkan dalam media massa, khususnya dalam sisipan hiburan akhbar harian perdana.


Cuma yang boleh saya perkatakan- cerita yang lebih berkait dengan tragedi terowong Mu'assem tahun 1990 dulu, sedikit sebanyak menyentuh nurani saya kerana mengenangkan arwah nenek sebelah isteri saya yang turut berada di sana ketika kejadian..

Alunan nyanyian dan lagu yang melatari cerita berjaya menggugah perasaan, lantas saya lebih terasa suasana tragedi itu sendiri yang mengundang persoalan terhadap buruknya sikap manusia meskipun sedang dalam melakukan ibadah. (Pencarian Danial terhadap Ungku Intan Anis tidak berat atau menusuk, berbanding peristiwa tragis yang mengorbankan lebih seribu nyawa jemaah haji ketika itu..)

Pentas teater di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP mungkin kecil ruang dan audiennya. Namun, gerak lakon yang melampaui tempat duduk penonton, menjadikan teater itu amat dekat dan 'masuk' dalam mata batin yang meyaksikannya..

Yuk, silakan menonton nanti malam, iya!