Khamis, 18 Februari 2010

TETESAN TINTARASA DI "HARI PEJUANG BAHASA 152"




Sepulang dari majlis di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, berbaur rasa yang berbagai..
1. Tiba seawal jam 8.00 pagi, yang terlihat kelibat rakan-rakan AJK Kerja KALAM.. Orang kuat GAPENA dan PENA mana perginya..? Tak ramai!
2. Sempat bersarapan dengan sdr Abdullah Shuib. Kemudian sdr Marsli NO sudi bersama kami penulis bilis, berbanding meja sebelah yang lebih gah dan ada 'title'!
3. Berpeluang bersembang panjang dengan Marsli - topiknya pelbagai, tapi berkaitan dengan dunia penulis dan penulisan..
-Simpati terhadapnya atas kehilangan 'sesuatu yang amat bermakna' serta 'pencerobohan' terhadap blognya.
-Simpati terhadap nasibnya yang lebih malang dalam soal bayaran terhadap karya/tulisannya yang tersiar. Walhal akhbar arus perdana itu sepatutnya mencontohi sebuah lagi akhbar arus perdana yang boleh membuat pembayaran honororium TANPA perlu membuat 'claim'!
4. Jualan buku sememang amat menarik, banyak tajuk yang belum dimiliki. Tapi sayang tidak cukup ongkos untuk 'memborong' mana yang diminati! Alhamdulillah, dapat beli satu set buku yang tidak disangka-sangka ada (atau boleh?) dijual di sini. "Goresan Pena Trio Mujahid" berharga RM60- yang "mahal" adalah isi buku itu ditulis oleh arwah guru-guru saya.
5. Dalam Balai Budaya, banyak kerusi belum dipenuhi- padahal ini hari penting bagi setiap yang mengaku 'pejuang bahasa' atau menyayangi bahasa ibunda kita. (Sebab itu, pada sesi forum, Dr. Mohd. Ridhuan Thee juga ada 'menjentik' kehadiran pejuang yang tidak memberangsangkan ini..)
6. Permulaan awal - deklamasi puisi berserta persembahan Seni Silat Sendeng WP amat menarik, memikat dan mampu membakar semangat. Dirasakan program hari ini pasti 'panas', 'pedas' dan penting menjanjikan harapan..
7. Ucapan berjela tapi bermesej dari seorang ke seorang hingga ke ucapan perasmian- diharap bukan sekadar 'gula-gula untuk 'mendiamkan keadaan'!
8. Sesi kudapan- peluang bertemu rakan/teman lama. Ada yang hampir 20 tahun tak bertemu. Ada yang nampak kian sihat, dan ada yang amat mengejutkan- tampak susut dan terlukis sakit di wajahnya. (Semoga beliau, sihat dan kuat. Amiin)
9. Sesi forum - saya terlepas peluang mendengar amanat Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Saya terpegun dengan kajian dan saranan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang menuntut kerajaan memperuntukkan dana/bajet yang sama buat memartabatkan Bahasa Melayu seperti yang diberi kepada usaha memperkasa Bahasa Inggeris.
10. Saya amat tersentuh dengan ucapan Dr. Mohd. Ridhuan Thee - yang orang menganggapnya lebih Melayu dari Melayu!. Biarpun tidak panjang, tapi kesannya di minda tetap berpanjangan! (Dan patutlah tulisan di pojoknya dalam Mingguan Malaysia membekas sesuatu untuk direnungkan, kerana beliau sendiri mengaku- beliau menulisnya dengan linangan airmata!)

*Demikianlah antara catatan yang mampu saya kongsi demi menzahirkan sesuatu yang masih berpusar gusar di dalam..