Sabtu, 18 Oktober 2008

Berita - Antologi Terbaru ABDUL HADI MUHAMAD


Buku antologi NEGERI DI BAWAH BULAN , merupakan antologi puisi terbaru penyair IslamABDUL HADI MUHAMAD selepas RUANG DALAM (1986) dan RACUN ABADI (2001).
Antologi NEGERI DI BAWAH BULAN mengandungi 75 buah puisi yang bertemakan keTuhanan,kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya. Digarap dengan bahasa yang segar, puitis serta mengandungi mesej tersirat yang perlu diambil pedomannya.
Penyair ABDUL HADI MUHAMAD kini sebenarnya sedang berdepan dengan sejenis penyakit kronik iaitu pompe's disease, satu penyakit lemah saraf (hingga pergerakan peparu) yang ditanggungnya sejak 2 Ramadhan 1428H (15 Sept 2007). Meskipun dalam keuzuran, jiwa seni yang sebati dalam diri mendorong beliau terus menghasilkan karya bersandarkan pengalaman beliau itu.
Bersamalah kita mendoakan kesihatan beliau, di samping turut menyokong kegigihan beliau berkarya, dengan mendapatkan antologi tersebut.
Silalah lawati laman blog beliau di http://www.abdulhadimuhamad.blogspot.com

Selasa, 7 Oktober 2008

Puisi - SAAT MENINGGALKAN PELABUHAN


Saat meninggalkan pelabuhan ramadhan
ada mendung berarak di langit nurani
sayup mengenang daun-daun hari
yang berguguran di kebun amal
menimbun di halaman hayat

Masihkah ada ruang pelayaran diri
menemui pangkalan buat mengabdi
lagi duabelas purnama
yang serasa lama, dan lara

Tuhan
izinkan sedikit ruang
buat hamba berkelana
tabah menempuh kabut
tegar merempuh ribut
mengharap kesempatan
berlabuh lagi.

- KanvasKarya, 1429H