Khamis, 26 Mac 2009

SEBUAH CERITA PENDEK - SELEPAS DIBALING KASUT


SELEPAS insiden dibaling kasut tempoh hari, dia menghilangkan diri. Ramai yang tertanya-tanya, di mana gerangan dirinya ? Orang bawahan dan seluruh warga kementeriannya hanya mengatakan dia bercuti seminggu. Tidak mahu dihubungi. Tidak perlu sms atau calling-calling.

Seminggu kelibatnya tidak dikesan. Seminggu itu juga keluarganya juga terputus hubungan. Tidak tahu di mana dia menyembunyikan diri. Tidak dengar khabar berita. Tidak dengar bicara mahupun panggilan daripadanya. Hidupkah lagi, ataukah sudah berkalang tanah?

Sebenarnya seminggu itu, dia sedang beruzlah- mengasingkan diri daripada orang lain. Dia bertujuan memuhasabah diri. Dia ingin menilai baik buruk dirinya, sepanjang mencurah bakti kepada masyarakat dan Negara. Paling penting, adakah tanggungjawab yang terpikul di pundaknya itu, telah digalas dengan penuh amanah, dedikasi dan sememang berguna serta bermakna kepada setiap insan bergelar pelajar. Insan bergelar pelajar yang akan memimpin negara suatu hari nanti.

Belum terlihat keberkesanan Rancangan Besar Asuhan Negara (RABAN), kerana memakan masa 5 tahun. Kini dia dihadapkan dengan isu semasa yang amat mencabar kesetiaan dan kesungguhannya terhadap kementerian yang diterajuinya.

Insiden dibaling kasut tempoh hari adalah manifestasi kemarahan orang-orang kampung yang telah lama terpendam. Anak-anak mereka adalah mangsa sistem Pembelajaran Perkara Penting Bahasa Asing (PEBABAS). Anak-anak mereka diajar dan diasuh dengan perkara-perkara penting dengan menggunakan Bahasa Asing. Natijahnya, mereka gagal, ketinggalan dibandingkan dengan bangsa lain.

Tidak cukup dengan kesannya terhadap anak-anak bumiputera, golongan pejuang Bahasa Ibunda turut meluah kemarahan terhadap kementeriannya yang seolah mengutamakan Bahasa Asing, seraya memperendahkan martabat Bahasa Ibunda sendiri.

Cuma, golongan pejuang Bahasa Ibunda merupakan golongan intelek yang berusaha menyuarakan perjuangan mereka dalam nada lebih lembut demi mengekalkan hubungan baik antara pertubuhan mereka dengan kementeriannya yang dianggap payung –sebenarnya- demi kelangsungan memartabatkan bahasa Ibunda untuk jangka panjang.

Mereka tidak sesekali akan menunjukkan kemarahan dengan menggunakan kanak-kanak, ataupun lebih teruk daripada itu- menganjurkan demonstrasi berbogel! Tidak. Mereka tidak akan bertindak kurang cerdik seperti itu!

Kini pejuang Bahasa Ibunda masing-masing sudah senyap. Senyap untuk melihat, seterusnya menilai apa tindakan yang akan dia ambil untuk menyelesaikan isu terbabit. Golongan yang merasakan PEBABAS merugikan anak-anak mereka untuk jangka panjang, sememang tidak bersedia menerima hasrat PEBABAS diteruskan.
Sebaliknya, golongan yang pro-PEBABAS tidak melihatnya dari sudut negatif berdasarkan perpekstif mangsa keadaan. Mereka melihat dari kacamata material barangkali, atau yang terbit daripada hasil pendidikan barat mereka. Itu tanggapan daripada pejuang Bahasa Ibunda, antaranya.

Dia masih menghitung satu persatu cabaran yang dilaluinya sebelum ini.

Terbaru, ada saranan agar semua yang bergelar ‘pelajar’, menikmati hanya satu aliran pendidikan. Tidak ada sekolah jenis tuantanah. Tidak ada sekolah jenis pendatang. Tidak ada sekolah jenis penjajah. Semua akan belajar di bawah satu sistem, satu aliran. Ini dikatakan mampu memupuk semangat perpaduan antara rakyat Negara yang berbilang kaum.

Isu yang dibangkitkan oleh seorang wakil rakyat, yang juga rakan baiknya, sedikit sebanyak menambah pening dan menyebabkan migraine kembali menyerangnya. Ramai yang pro, tidak kurang yang kontra.

Golongan yang cintakan keamanan, yang sayangkan hubungan harmoni antara kaum, sememang bersetuju sangat dengan cadangan rakannya itu. Manakala yang cintakan kepentingan sendiri, yang sayangkan monopoli yang sedia dikaut, bangkit menentang bersungguh-sungguh. Bagi mereka, kejayaan dan kekayaan tidak boleh dikongsi.

Dia termenung panjang melihat semua itu dengan mata zahir. Dia merenung buruk baik segalanya itu dengan mata batin. Dia ingin menggunakan neraca keputusannya itu dengan adil, agar lambang keadilan yang dibawakan parti pemerintahnya bukan, sekadar lambang.

Kini segala keputusan di tanganfikirnya, menjadi penentu sama ada para penentang akan mahu turut bersama merealisasikan aspirasi kementerian untuk memajudayakan anak bangsa. Atau sebaliknya, mereka tetap kekal menentang dan bersedia untuk membaling lebih banyak kasut ke arahnya- demi menyelamatkan masa depan anak bangsa agar tidak terus tercicir…

Sabtu, 7 Mac 2009

BELASUNGKAWA - kanda ZUBIR ALI


Selepas solat Jumaat di Masjid Jameq Jami'ul Ehsan, Setapak, dalam perjalanan mengambil anak di sekolah teknik berdekatan, saya terdengar berita pemergian kanda Zubir Ali, melalui siaran radio IKIM.

Terkejut sejenak. Tidak kedengaran beliau menghidap penyakit kronik sebelum ini. Maklumat yang diterima, beliau meninggal dunia sekitar jam 11.00 pagi ini di Hospital Pakar Damansara selepas menjalani pembedahan jantung.
Allahyarham Zubir, 58, meninggalkan seorang balu dan tiga orang zuriat.

Saya terkenang kali terakhir berpeluang makan bersama arwah, di Oditorium DBKL, sewaktu beliau akan membuat persembahan (lagu puisi) pada Majlis Baca Puisi Gema Merdeka tahun lepas. Biarpun kelihatan dari luaran beliau seorang yang pendiam, namun cepat mesra setelah mula berbual.

Kehadiran beliau bersama kumpulan Harmoni di awal 80an dulu, berjaya menyemarakkan minat kepada lagu-lagu puisi. Lagu seperti Penantian, Nyanyian Ombak, Balada Seorang Gadis Kecil dll, masih berbekas dan tetap nostalgik.

Sejambak TAKZIAH buat keluarga allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah, serta ditempatkan di sisi orang-orang yang soleh..

al-Fatihah