Isnin, 19 Januari 2009

PUISI - KUNTUMAN DOA BUAT PALESTINA


Kerana kami kasihkan keamanan, Tuhan
Kerana kami sayangkan keharmonian, Tuhan
Kerana kami cintakan kebahagiaan, Tuhan

Lalu
Engkau perkenankanlah permohonanan kami.

Selamatkanlah hamba-hamba-Mu yang lemah dan lelah
ditindas kaum zionis yang selalu ingkar dan mungkar
Selamatkanlah anak-anak kecil yang derita sengsara
dizalimi yahudi yang teguh angkuh dan bongkak
Selamatkanlah insan-insan yang tidak bersalah
daripada tangan-tangan yang merenggut kehidupan mereka

Pimpin dan bimbinglah hamba-hamba-Mu yang lemah dan lelah
dengan payung kesabaran dan ketabahan menerima hujan ujian-Mu
Pimpin dan bimbinglah anak-anak kecil yang derita sengsara
dengan lentera keimanan dan ketaqwaan menghadapi musibah-Mu
Pimpin dan bimbinglah insan-insan yang tidak bersalah
dengan rahmat keberkatan-Mu menikmati kehidupan serba baru.

Kerana kami kasihkan keamanan, Tuhan
Kerana kami sayangkan keharmonian, Tuhan
Kerana kami cintakan kebahagiaan, Tuhan

Lalu
Engkau perkenankanlah permohonanan kami.

- KanvasKarya, Muharram 1430