Isnin, 28 April 2008

Puisi - MUHASABAH

Aku adalah pengembala yang bertuan Tuhan. Gembalaanku menggalas beban amanah risalah kebenaran mutlak dan berhak. Aku menapak hari dengan langkah yang awas. Kujejak gerak masa dengan akal yang waras. Sekejap nanar pasti goda kan cakar. Sebentar honar pasti noda kan calar. Aku mengharap sinar taufik memancari mata batini mengenal jernih pahala. Aku mendakap pedoman Quran memagari tebing nurani mengelak cemar dosa. Segala hasrat kupanjatkan di puncak munajat. Sekian doa putih kualirkan di sungai taubat dengan fikir dan zikir.

Tuhan, usah tinggalkan daku tanpa rahmat-Mu membiar diri bingung dan linglung.
Tuhan, jangan tanggalkan daku dari nikmat-Mu membuat diri akur dan syukur.
Tuhan, pimpini daku dengan tongkat hidayah-Mu agar jalanku lurus dan tulus.
Tuhan, bimbingi daku dengan mardhatillah moga pengembalaanku tetap selamat!

- Berita Minggu, 2 Januari 2000

1 ulasan:

DI KULIT BUMI KARYA-MU berkata...

Salam Chulan. Karyamu sebenarnya sudah 'meninggalkan aku jauh di belakang' wpun kau kata sebaliknya. aku masih mcm dulu juga. masih mengenang kenangan silam di mpti dan jb yang kita susuri. semoga Allah memberkati usaha kita, panjang umur, berjumpa lagi. Amin.