Khamis, 26 Mac 2009

SEBUAH CERITA PENDEK - SELEPAS DIBALING KASUT


SELEPAS insiden dibaling kasut tempoh hari, dia menghilangkan diri. Ramai yang tertanya-tanya, di mana gerangan dirinya ? Orang bawahan dan seluruh warga kementeriannya hanya mengatakan dia bercuti seminggu. Tidak mahu dihubungi. Tidak perlu sms atau calling-calling.

Seminggu kelibatnya tidak dikesan. Seminggu itu juga keluarganya juga terputus hubungan. Tidak tahu di mana dia menyembunyikan diri. Tidak dengar khabar berita. Tidak dengar bicara mahupun panggilan daripadanya. Hidupkah lagi, ataukah sudah berkalang tanah?

Sebenarnya seminggu itu, dia sedang beruzlah- mengasingkan diri daripada orang lain. Dia bertujuan memuhasabah diri. Dia ingin menilai baik buruk dirinya, sepanjang mencurah bakti kepada masyarakat dan Negara. Paling penting, adakah tanggungjawab yang terpikul di pundaknya itu, telah digalas dengan penuh amanah, dedikasi dan sememang berguna serta bermakna kepada setiap insan bergelar pelajar. Insan bergelar pelajar yang akan memimpin negara suatu hari nanti.

Belum terlihat keberkesanan Rancangan Besar Asuhan Negara (RABAN), kerana memakan masa 5 tahun. Kini dia dihadapkan dengan isu semasa yang amat mencabar kesetiaan dan kesungguhannya terhadap kementerian yang diterajuinya.

Insiden dibaling kasut tempoh hari adalah manifestasi kemarahan orang-orang kampung yang telah lama terpendam. Anak-anak mereka adalah mangsa sistem Pembelajaran Perkara Penting Bahasa Asing (PEBABAS). Anak-anak mereka diajar dan diasuh dengan perkara-perkara penting dengan menggunakan Bahasa Asing. Natijahnya, mereka gagal, ketinggalan dibandingkan dengan bangsa lain.

Tidak cukup dengan kesannya terhadap anak-anak bumiputera, golongan pejuang Bahasa Ibunda turut meluah kemarahan terhadap kementeriannya yang seolah mengutamakan Bahasa Asing, seraya memperendahkan martabat Bahasa Ibunda sendiri.

Cuma, golongan pejuang Bahasa Ibunda merupakan golongan intelek yang berusaha menyuarakan perjuangan mereka dalam nada lebih lembut demi mengekalkan hubungan baik antara pertubuhan mereka dengan kementeriannya yang dianggap payung –sebenarnya- demi kelangsungan memartabatkan bahasa Ibunda untuk jangka panjang.

Mereka tidak sesekali akan menunjukkan kemarahan dengan menggunakan kanak-kanak, ataupun lebih teruk daripada itu- menganjurkan demonstrasi berbogel! Tidak. Mereka tidak akan bertindak kurang cerdik seperti itu!

Kini pejuang Bahasa Ibunda masing-masing sudah senyap. Senyap untuk melihat, seterusnya menilai apa tindakan yang akan dia ambil untuk menyelesaikan isu terbabit. Golongan yang merasakan PEBABAS merugikan anak-anak mereka untuk jangka panjang, sememang tidak bersedia menerima hasrat PEBABAS diteruskan.
Sebaliknya, golongan yang pro-PEBABAS tidak melihatnya dari sudut negatif berdasarkan perpekstif mangsa keadaan. Mereka melihat dari kacamata material barangkali, atau yang terbit daripada hasil pendidikan barat mereka. Itu tanggapan daripada pejuang Bahasa Ibunda, antaranya.

Dia masih menghitung satu persatu cabaran yang dilaluinya sebelum ini.

Terbaru, ada saranan agar semua yang bergelar ‘pelajar’, menikmati hanya satu aliran pendidikan. Tidak ada sekolah jenis tuantanah. Tidak ada sekolah jenis pendatang. Tidak ada sekolah jenis penjajah. Semua akan belajar di bawah satu sistem, satu aliran. Ini dikatakan mampu memupuk semangat perpaduan antara rakyat Negara yang berbilang kaum.

Isu yang dibangkitkan oleh seorang wakil rakyat, yang juga rakan baiknya, sedikit sebanyak menambah pening dan menyebabkan migraine kembali menyerangnya. Ramai yang pro, tidak kurang yang kontra.

Golongan yang cintakan keamanan, yang sayangkan hubungan harmoni antara kaum, sememang bersetuju sangat dengan cadangan rakannya itu. Manakala yang cintakan kepentingan sendiri, yang sayangkan monopoli yang sedia dikaut, bangkit menentang bersungguh-sungguh. Bagi mereka, kejayaan dan kekayaan tidak boleh dikongsi.

Dia termenung panjang melihat semua itu dengan mata zahir. Dia merenung buruk baik segalanya itu dengan mata batin. Dia ingin menggunakan neraca keputusannya itu dengan adil, agar lambang keadilan yang dibawakan parti pemerintahnya bukan, sekadar lambang.

Kini segala keputusan di tanganfikirnya, menjadi penentu sama ada para penentang akan mahu turut bersama merealisasikan aspirasi kementerian untuk memajudayakan anak bangsa. Atau sebaliknya, mereka tetap kekal menentang dan bersedia untuk membaling lebih banyak kasut ke arahnya- demi menyelamatkan masa depan anak bangsa agar tidak terus tercicir…

7 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Tuan guru,
Tahniah, permainan satira yang berada dalam sebuah imansipasi. Kepercayaan bahawa ular menyusup akar tak hilang bisanya masih terjelma di dalam diri kreatif saudara. Teruskan.
Tahniah, tuan guru.

dariana berkata...

salam. semoga afiat dan bersenang2. di sini juga afiat dan sejahtera. menatap ceringkas 'selepas dibaling kasut' saya teringat puisi saya kat berita harian 'sergah sepasang kasut' muntadhar al-zaidi ke arah bush. bush dimalukan di bumi baghdad. padan muka dia menerima hadiah sebelum dibesarakan waktu.
ceringkas dinda itu punya siratan makna yang baik, sinis dan mengesankan. perlu sedikit perhatian semula tentang bahasa dan diksi. tak apa teruskan minat dan didoakan agar berhasil sesuatu yg baik untuk kita semua. amiin..

ekspresi berkata...

karya yang sebegini perlu kita usahakan lagi secasra serius agar terbit di akhbar2 dan majalah. teruskan

AZANI berkata...

Cikgu,
Terpegun saya membaca, sehingga habis tulisan saya menyusur.Petah dan lancar kata saudara, indah dan tajam menusuk kalbu dirasa.Teruskan cikgu..teruskan.

Melihat Kesunyataan berkata...

Sdr. Culan!
Masalah bahasa kadang-kadang perlu peranan kasut.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam sdr.chulan yang dihormati. syabas; kombinasi isu semasa + satira.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Chulan: Biar jelas dan fokus. Kalau mahu satira atau seperti menulis laporan. Kukira staira lebih baik dan akan lebih menarik kalau bisa buat pembaca tertanya-tanya mencari sumbernya.

Itu sekedarnya tanggapanku.

Marsli N.O