Rabu, 23 Mei 2012



Puisi: DEMAM

Demam..
Memimpin diri bermuhasabah
Membimbing nurani bermujahadah.

Demam..
Mengajar jiwa lebih sabar
Mengasuh rasa agar tegar.

Demam..
Mengharap belas limpahan rahmat
Mensyukuri segala kurniaan nikmat.

alhamduLillah
Sesekali sakit menggigit
baru kesedaran datang menggamit!

astaghfiruLlah..
Moga hamba-Mu beroleh maghfirah
Moga hamba-Mu mencapai mardhatiLlah..


~ Kanvaskarya, Hulu Langat
   2 Rejab 1433


Selasa, 7 Februari 2012

FILEM YANG MENDIDIK ~ "HAFALAN SOLAT DELISA"

Sudah agak lama saya tidak menonton filem. Baru-baru ini, anak dara ketiga saya mengesyorkan saya menonton cerita yang bertemakan keIslaman, judulnya 'Hafalan Solat Delisa'. Katanya, "Sedih cerita tu, abah.."

Melihat pada judulnya saja, sudah menarik 'mood' saya untuk mengetahui apa yang sebenarnya dikisahkan dalam filem Indonesia itu..

Berikut adalah sinopsis ceritanya..
"Delisa, anak bongsu dalam keluarga Abi Usman, tinggal di Lhok Nga, Aceh bersama ibu dan tiga orang kakaknya iaitu Fatimah, Aisyah dan Zahra.
Pada 26 Disember 2004, sewaktu Delisa sedang menghadapi ujian praktikal hafalan solat, berlakulah tragedi tsunami yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Nasib Delisa agak baik berbanding ahli keluarganya yang lain, apabila telah diselamatkan oleh tentera asing bernama Smith. Cuma, kakinya yang teruk mengakibatkannya terpaksa dipotong. Di hospital, dia dirawat oleh jururawat Sophie. Perhatian yang diberikan oleh Smith dan Sophie, serta gurunya Ustaz Abdul Rahman, seakan memberi semangat buat Delisa untuk meneruskan kehidupan.
Dalam mengharungi kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga dan teman rapat, hatinya terubat jua setelah akhirnya ayahnya Abi Usman dapat menemuinya semula..Begitupun, kisah sedih terus bertali dan berjaya mendidik jiwa Delisa lebih tegar dan tabah, serta mengajarnya memahami apa itu 'ikhlas', serta mengerjakan sesuatu itu tanpa mengharapkan balasan.."

Menonton cerita itu dengan penuh penghayatan, mampu mencakar dan mencalar perasaan.. Jiwa lelaki saya tergugah, dan terasa kesedihan meruntun.. Kisah yang menyentuh rasa, melibatkan kehilangan insan tersayang.. Anak kecil seusia itu, belajar erti kesusahan dan penderitaan, namun dididik dengan rasa tanggungjawab terhadap Pencipta, kewajipan mengerjakan solat.

Sesuatu yang berkesan menyentuh nurani, adalah dialog itu~ "Delisa sayang Ummi kerana Allah"..

Bagi yang belum menontonnya, tontonlah, dan ambil pengajaran daripadanya..




Khamis, 12 Januari 2012

PUISI : ZIONIS KEPARAT, BANGSA DILAKNAT

( “Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”

- Surah al-Maaidah, ayat 78-79 )

Tragedi berulang kembali mencakar mencalar peradaban

si penyembelih yang sentiasa mencetus onar mungkar

mengoyak kemanusiaan, menyiat keharmonian

menghancur kehidupan, memusnah ketamadunan

Betapa nyawa tiada nilai di mata mereka

anak-anak keyatiman mereguk sakit pahit sengsara

wanita kehilangan pergantungan mengecap pedih sedih berjela

habis segala tangis bermandian berharian lamanya

meratap menyentap segenap sisa ruang yang lara.

Sememang bangsa bangsat dilaknat Tuhan tidak punya kamus kemanusiaan

Sebetulnya begitu haru biru zionis laknat keparat tidak hormat peradaban

Apa perlunya zionis keparat bangsa dilaknat dihulurkan salam persahabatan?

Kezaliman sesungguhnya mekar dan tegar di nurani zionis

kebiadapan sesungguhnya teguh dan kukuh di sanubari yahudi

sifat mazmumah adalah pakaian mereka yang buruk dan teruk!

ii

Aduhai umat palestina,

Doa putih jernih sentiasa kami panjat munajat

Agar kalian juga bisa hidup menghirup nikmat Tuhan

Seperti setiap yang bergelar insan.

- CHULAN CHIN

KanvasKarya,

Hulu Langat.

Muharram 1430


Isnin, 7 November 2011

Puisi: WASIAT BUAT ISTERI

Andai esok hari
tujuku nanar dan sasar
kaupimpinilah ke kiblat
yang hak dan mutlak.

Andai esok hari
tingkahku pincang dan lancang
kaubimbingilah ke batas
yang waras dan awas.

Andai esok hari
diri kembali kehadrat Ilahi
kaugalaslah amanah
dengan tabah dan gagah.

Andai esok hari
anak-anakmu merindui
kasih seorang ayah
kaujadilah pengganti
yang layak dan berhak.

Andai esok hari
kaukenangi daku yang pergi
kausiramilah pusaraku
dengan doa yang tenang dan terang
memancari malamku yang abadi.

- Kuala Kubu Bharu.

*Berita Minggu, 22.8.1999.



Isnin, 3 Oktober 2011

Puisi: BINGKAI LARA


Biarkan
cinta itu
bersanding
di pelamin kenangan.

Kerana
segala impian
telah terpateri
di bingkai lara.

Biarkan
setia jitu
terukir
di persada harapan.

Kerana
segala kasih
telah bersemadi
di tugu dukaluka.

-TintaRasa;
4-5 Zulkaedah 1432

Khamis, 8 September 2011

"SALAM LEBARAN"

"TaqabbalaLlahu minna wa minkum"
Semoga Allah menerima segala amalan kami dan amalan kalian juga..

Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengungkapkan- "SALAM LEBARAN, MAAF ZAHIR & BATIN" ~ buat para pengunjung blog ini, rakan blogger & penulis, kenalan dan taulan, serta semua kaun muslimin dan muslimat. Semoga ukhuwwah kita terus tulus berpanjangan dan saling berhubung, walaupun hanya di alam maya..

Wassalam.

Jumaat, 5 Ogos 2011

"MASIH BUJANG? RELAKSLAH!" - Buku Terbaru Terbitan Alaf21


Assalamu'alaikum wrt wbt.. Salam Ramadhan...
Di bulan Ramadhan ini, tentu sekali kita mengisi waktu lapang dengan mengerjakan amalan yang mampu menambah pahala dan sebagai bekal untuk ke negeri abadi nanti. Membaca al-Quran- bertadarrus, menghayati isi kandungannya, berzikir, bersedekah dan lain-lain lagi aktiviti yang berfaedah boleh dilakukan. Terserah kepada pilihan kita yang menentukannya.

Ada di kalangan kita yang lebih suka mengisi waktu lapang dengan membaca. Membaca bahan yang pelbagai- yang berat atau ringan, atau -yang serius atau santai.

Di sini, ingin saya perkenalkan sebuah buku baru yang agak menarik, terbitan Alaf21. Melihat pada judulnya~ "MASIH BUJANG? RELAKSLAH!", sudah pasti pembaca daripada golongan yang bujang (tidak kira bujang 'muda' atau yang 'andalusia') akan tertarik untuk membacanya.

Buku hasil tulisan Kreisya Reisya ini, dipersembahkan lebih sebagai motivasi untuk mereka yang hidup membujang.. Atau yang masih belum mempunyai teman hidup.. Dipaparkan 'dunia orang bujang' berdasarkan pengalaman penulis dan sahabat-sahabat yang seangkatan dengannya, yang tentunya dapat memberikan persepsi yang positif terhadap mereka yang belum berumahtangga, khususnya yang agak 'lewat usianya'.

Buku ini juga boleh dijadikan sebagai panduan untuk cekal melalui 'cabaran hidup bujang'.. Selain diberikan beberapa menu yang mana-mana bujang pun boleh dan mampu sediakan. Menu yang agak ringkas tetapi berkhasiat.

Mungkin sasaran pembaca adalah untuk si bujang, namun saya berpendapat buku ini juga sesuai untuk peminat buku dan sesiapa saja termasuk yang sudah berkeluarga.. Ini bagi memudahkan kita memahami dunia orang bujang, selain turut mampu mendidik anak-anak bujang kita menjalani kehidupan dengan jiwa tenang dan senang..

*Berikut adalah sinopsis buku "Masih Bujang? Relakslah!" seperti yang terdapat di laman web Alaf21 ;
"Andakah si bujang yang sedang menanti putera puteri idaman yang tak kunjung-kunjung tiba? Atau anda bujang berusia emas yang masih meniti kehidupan bertemankan kesepian? Bersenandung dalam duka, berbicara sepi tanpa teman?

Jika anda masih terkial-kial mencari pasangan hidup, buku inilah jodoh sementara anda. Buku ini akan menemani anda berkongsi suka dan duka, resipi dan petua, pengalaman dan perasaan dalam mengharungi usia bujang. Jom kita nikmati dan raikan setiap detik usia membujang, setiap saat nafas kehidupan. Bujang atau tidak, selagi nadi berdenyut, itulah anugerah kehidupan untuk dimanfaatkan.

Nah, apa lagi? Milikilah daku kerana daku akan menemanimu, menceriakan hatimu dan memberi satu semangat baru-bahawa kitalah bujang-bujang yang cemerlang, gemilang dan tetap unggul!"