Rabu, 27 Ogos 2008

Makluman Kegiatan -PROGRAM MALAM APRESIASI PUISI DAN SENI BUDAYA GEMILANG KEMERDEKAAN KE-51

PERSATUAN Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Persatuan Penduduk Jalan Saga 7 (PESAGA 7), Taman Saga, Ampang dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) akan menganjurkan Malam Apresiasi Puisi dan Seni Budaya Gemilang Kemerdekaan Ke-51 (MAP&SBGKK51) seperti berikut ;
Tarikh : 29 Ogos 2008 (Jumaat)
Masa : 8:30 malam
Tempat : Auditorium MPAJ,
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),
Jalan Pandan Utama,
Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur.

Program bertemakan “Nasionalisme, Patriotisme dan Kemanusiaan” yang diadakan pada tahun kedua ini akan dirasmikan oleh Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, KPKKW.
Program ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada penduduk setempat terutama di daerah Ampang agar turut sama memperingati, menghargai dan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 yang jatuh pada 31 Ogos 2008 melalui genre bahasa dan sastera.
Menurut Ketua Satu KALAM, Sdr. Mohamad Daud Mohamad, “Melalui persembahan apresiasi puisi dan kebudayaan pelbagai kaum daripada penyair tanah air, tokoh VIP, artis, kumpulan, guru dan pelajar dalam program ini, diharapkan masyarakat dapat menghayati dan menghargai jerit-perih, sumbangan dan pengorbanan para pejuang negara dalam menegak dan mendaulatkan negara Malaysia tercinta ini.”
Antara penyair, artis dan kumpulan jemputan yang terlibat menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan pada malam tersebut ialah Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, Rahimidin Zahari, Siti Raihani Mohd. Saaid, Ayusari MJ, Harlym Yeo, Maitili a/p Muniyandy, Aishah (artis), Zubir Ali dan Kumpulan Harmoni (lagu puisi), Anjung Seni Bingkas Kebayan, Adik Muhd. Saifullah dan Adik Nur Syahirah Mattaib, Kelab Seni Budaya MPAJ, Kumpulan JS Dance, Majlis Guru Besar Ampang dan persembahan wakil-wakil sekolah daerah Ampang.
Selain daripada Dato’ Norliza Rofli (Ketua Pengarah, JKKN, KPKKW), tokoh kenamaan lain akan mendeklamasikan puisi ialah Dato’ Muhammad Yacob (Yang Dipertua MPAJ), Drs. Mohamad Daud Mohamad (Ketua Satu KALAM), Rozian Haji Mohd. Long (Pengerusi PESAGA 7) dan Ismail Musa (Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat).
Bersesuaian dengan semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51, semua hadirin dibekalkan bendera jalur gemilang dan akan bersama-sama peserta menyanyikan empat buah lagu antaranya Jalur Gemilang, Kerana Mu Malaysia, Saya Anak Malaysia dan 31 Ogos.
Semua penulis/penyair, penggiat budaya dan teater, pelajar, peminat bahasa dan sastera serta orang ramai berserta keluarga dipersilakan hadir ke program secara terbuka dan percuma. Hamper cabutan bertuah dan jamuan ringan disediakan kepada hadirin.

4 ulasan:

dariana berkata...

salam ingatan dan terima kasih kerana ziarah saya di blog.

lama saya tidak berkarya dan lama saya tertinggal agenda seumpama di ibukota.

tahniah buat program Kalam.
salam penuh mesra saya buat sdr drs Mohd daud mohammad, datuk dr kemala, sdr rahimidin zahari, mohd azlan abdullah dan rakan yg masih mengingati saya jauh di tanah serendah sekebun bunga.

untuk rakan2, sudilah panjangkan adress blog saya buat mereka sambil menatap puisi dan hubungan silaturrahiim.

selamat nyambut ramadhan almubarakan, perbanyakkan ibadah, baca laquran dan bersedekah. moga kita semua dirahmati Allah.

Amal @ PriaPrai @ Chulan Chin berkata...

Salam..
Seharusnya, saya yg perlu berterima kasih juga kpd kanda hadi, atas kesudian menjengah ke kanvaskarya..

Memang, agak lama tidak berpeluang menghayati karya kanda hadi, ataupun melihat penglibatan di ibukota. tapi saya yakin, kanda lebih aktif di negeri serambi mekah..

Saya tidak hadir ke program tersebut, disebabkan halangan kesihatan. Namun, jika berpeluang menemui sahabat2 berkenaan, akan saya titipkan salam kanda, selain menyampaikan alamat blog kanda hadi. Insya-Allah..

Pyanhabib berkata...

salam ramadhan,
semoga dirahmati
setiap amal baik.

Amal @ PriaPrai @ Chulan Chin berkata...

Salam bro Pyan.
Terima kasih atas kesudian menyinggah ke kanvaskarya. Saya amat menghargainya!
Doa jua buat bro sekeluarga. Amiin.