Ahad, 31 Julai 2011

'SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK'..

Assalamu'alaikum wrt wbt..

Diucapkan 'Selamat Menjalani Segala Ibadah di Bulan Yang Penuh Keberkatan'..
Semoga rahmat keberkatan Ilahi menaungi hidup kita, menambahkan rasa ketaqwaan dan keimanan terhadap Maha Pencipta.

Wassalam.

Rabu, 20 April 2011

Puisi : KANGEN


Wajah murung lelangit
menyimpan sebak
yang rabak.

Hujanpun menangis lebat
mencurah duka
yang luka.

Guruh sesekali menjerit
meraung sakit
yang pahit.

Adalah tafsiran
rindu setia
yang lara..


- Kanvaskarya,
200411 / 16 Jamadilawal 1432 H

Ahad, 27 Mac 2011

FAUZIAH NAWI KEMBALI DENGAN 3 WAJAH

Pelakon hebat Fauziah Nawi (FN) kembali tampil beraksi secara solo dalam '3 Wajah' ~ bakal dipentaskan di Stor DBP, jam 9.00 malam, bermula 30 Mac hingga 3 April ini.

Setelah menonton 'Cinta Julia' suatu waktu dulu (sekitar penghujung 2008, rasanya), kini sekali lagi saya (dan tentunya peminat kak FN) berpeluang menyaksi dan menikmati persembahan beliau yang dikhabarkan muncul sebagai Tukang Sapu, Ceti Berlesen dan Isteri YB. (Untuk sinopsis cerita, sila rujuk ke http://audiiwana.blogspot.com/)

Yuk, jangan lepaskan peluang! Pementasan cuma selama 5 hari. Kita tidak punya banyak masa untuk memilih tarikh bagi menontonnya, berbeza dengan teater yang lain..

Sabtu, 19 Mac 2011

'LAT KAMPUNG BOY SEBUAH MUZIKAL' ~ TEATER YANG HARMONI

Sebut saja nama ‘LAT’, saya pasti pelanggan setia akhbar Berita Harian/NST, akan teringat pada siri komik Keluarga Si Mamat’ (yang makan masa bertahun~ disiarkan setiap minggu di akhbar Berita Minggu) sekitar penghujung 70an/awal 80an dulu. Sketsa/lukisan Lat juga dapat dinikmati dalam akhbar New Straits Times ~ mengandungi kritik sosial dan sinis terhadap realiti kehidupan yang berlaku di negara kita.

Pastinya ramai akan terbayang kisah budak kampung berambut ‘gondrong’, sedikit nakal, lurus bendul, dan agak melucukan~ dari komik ‘Lat The Kampung Boy’ danTown Boy’.Segala yang terlukis dan menjadi cerita di dalamnya, berdasarkan kehidupan kartunisnya sendiri.

Apabila kisah hidup LAT (Datuk Mohammad Nor Khalid) diberitakan akan dibawa ke pentas teater, saya berasa amat teruja. Saya percaya, ramai ‘pengikut’ LAT juga akan ternanti-nantikan persembahan itu nanti.

Dan tanggal 16 Mac lalu, bermulalah pementasan ’Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal’ (LKBTM) di Panggung Sari, Istana Budaya.

[Saya berpeluang menontonnya pada malam kedua persembahan. ’Sejambak TERIMA KASIH’ ~ buat teman lama- J – yang membeli & memberi tiket berharga RM187! ]

Skrip hasil tulisan Harith Iskandar, yang turut mengarahkannya bersama Hans Isaac, memakan masa sekitar 2 ½ jam. (Mengikut catatan saya- bermula 8.40 mlm. Berhenti rehat pada jam 10.10. Meskipun penonton dimaklumkan rehat sekitar 20 minit, tapi persembahan hanya bersambung pada jam 10.35, dan berakhir pada jam 11.35 mlm).

Dengan didokong watak utama- Awie (Lat dewasa), dikuatkan pula oleh Jalil Hamid (‘Apak’ Lat), Omar Abdullah (A.Samad Ismail), Atilia (Faezah- isteri Lat), Douglas Lim (Frankie) (sekadar menyebut beberapa nama), penonton dibawa ‘masuk’ ke kehidupan Lat seraya berkongsi kisah suka duka, sejak zaman kanak hinggalah ke alam rumahtangganya. Rata-rata pelakon lain turut memberi impak yang baik terhadap teater ini, terutamanya adik Daniel Eezkandar Azraien (Lat kecil) , yang mempunyai potensi besar sebagai pelakon teater generasi depan.

Penonton dihidangkan dengan 14 buah lagu hasil gubahan Michael Veerapan. Ada variasi melodi yang turut memberi kesan kepada penghayatan cerita. Koreografer Pat Ibrahim dan rakannya Azwa, memain peranan menjadikan pelbagai rentak tari amat menghiburkan, selain mampu menggambarkan suasana dan mood yang amat harmoni..

Set /latar pentas yang bermotifkan lukisan seperti yang terdapat dalam komik Lat, menjadikan suasana ’kartun’ dirasai, tetapi tidak menjejaskan paparan realiti kehidupan yang dilalui Lat. Cuma bagi saya, sedikit kecacatan adalah apabila peralihan set tiap kali beralih babak, tidak ’dilindungi’- membuatkan tumpuan sesekali terpaku kepada krew yang menyorong/mengalih rumah/bilik dll.. (Berbeza dengan beberapa teater yang saya tonton sebelum ini, kelancaran dan kekemasan peralihan set tidak menjejas tumpuan audien).

Seperkara lagi, muzik yang dimainkan orkestra, ada kala menenggelamkan dialog pelakon~ hinggakan penonton bertanya sesama sendiri apa yang diucapkan oleh pelakon itu.. Mungkin pihak pengarah dapat memperbaikinya lagi bagi malam-malam yang akan datang..

Sememang tiada yang sempurna. Sedikit kecacatan tidak boleh menghukum keseluruhan persembahan. Justeru, saya merasakan kepuasan yang amat, setelah selesai menonton teater ini. Terasa betapa teater ini amat HARMONI, gambaran perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Selain Bahasa Inggeris, dialog yang digunakan melambangkan adanya Melayu, Cina, India, malahan Benggali (atau Punjabi- biarpun tiada dialog yang disampaikan, namun 'watak Benggali /Punjabi kerap muncul dalam beberapa situasi.)

TAHNIAH ~ buat semua warga kerja LKBTM yang telah berjaya membekalkan kepuasan untuk dibawa pulang! .


Rabu, 26 Januari 2011

Puisi : PESAN BUAT SUAMI (ii)

Layani isteri
dengan lunak bicara

Hormatinya
dengan sopan tingkah

Mesrainya
dengan tulus kasih

Hargainya
dengan kuntuman doa

Syukurinya
dengan setia dan redha.

-Sri Nanding
20 Safar 1432H

Ahad, 11 April 2010

Puisi - AKAL KATA

Dengan pisau kata
hati terluka

Dengan kuntum kata
nurani berbunga

Dengan akar kata
susila terjaga

Dengan akal kata
hayat bermakna


- Taman Sri Nanding
22 Rabiulakhir 1431

Khamis, 18 Februari 2010

TETESAN TINTARASA DI "HARI PEJUANG BAHASA 152"




Sepulang dari majlis di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, berbaur rasa yang berbagai..
1. Tiba seawal jam 8.00 pagi, yang terlihat kelibat rakan-rakan AJK Kerja KALAM.. Orang kuat GAPENA dan PENA mana perginya..? Tak ramai!
2. Sempat bersarapan dengan sdr Abdullah Shuib. Kemudian sdr Marsli NO sudi bersama kami penulis bilis, berbanding meja sebelah yang lebih gah dan ada 'title'!
3. Berpeluang bersembang panjang dengan Marsli - topiknya pelbagai, tapi berkaitan dengan dunia penulis dan penulisan..
-Simpati terhadapnya atas kehilangan 'sesuatu yang amat bermakna' serta 'pencerobohan' terhadap blognya.
-Simpati terhadap nasibnya yang lebih malang dalam soal bayaran terhadap karya/tulisannya yang tersiar. Walhal akhbar arus perdana itu sepatutnya mencontohi sebuah lagi akhbar arus perdana yang boleh membuat pembayaran honororium TANPA perlu membuat 'claim'!
4. Jualan buku sememang amat menarik, banyak tajuk yang belum dimiliki. Tapi sayang tidak cukup ongkos untuk 'memborong' mana yang diminati! Alhamdulillah, dapat beli satu set buku yang tidak disangka-sangka ada (atau boleh?) dijual di sini. "Goresan Pena Trio Mujahid" berharga RM60- yang "mahal" adalah isi buku itu ditulis oleh arwah guru-guru saya.
5. Dalam Balai Budaya, banyak kerusi belum dipenuhi- padahal ini hari penting bagi setiap yang mengaku 'pejuang bahasa' atau menyayangi bahasa ibunda kita. (Sebab itu, pada sesi forum, Dr. Mohd. Ridhuan Thee juga ada 'menjentik' kehadiran pejuang yang tidak memberangsangkan ini..)
6. Permulaan awal - deklamasi puisi berserta persembahan Seni Silat Sendeng WP amat menarik, memikat dan mampu membakar semangat. Dirasakan program hari ini pasti 'panas', 'pedas' dan penting menjanjikan harapan..
7. Ucapan berjela tapi bermesej dari seorang ke seorang hingga ke ucapan perasmian- diharap bukan sekadar 'gula-gula untuk 'mendiamkan keadaan'!
8. Sesi kudapan- peluang bertemu rakan/teman lama. Ada yang hampir 20 tahun tak bertemu. Ada yang nampak kian sihat, dan ada yang amat mengejutkan- tampak susut dan terlukis sakit di wajahnya. (Semoga beliau, sihat dan kuat. Amiin)
9. Sesi forum - saya terlepas peluang mendengar amanat Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Saya terpegun dengan kajian dan saranan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang menuntut kerajaan memperuntukkan dana/bajet yang sama buat memartabatkan Bahasa Melayu seperti yang diberi kepada usaha memperkasa Bahasa Inggeris.
10. Saya amat tersentuh dengan ucapan Dr. Mohd. Ridhuan Thee - yang orang menganggapnya lebih Melayu dari Melayu!. Biarpun tidak panjang, tapi kesannya di minda tetap berpanjangan! (Dan patutlah tulisan di pojoknya dalam Mingguan Malaysia membekas sesuatu untuk direnungkan, kerana beliau sendiri mengaku- beliau menulisnya dengan linangan airmata!)

*Demikianlah antara catatan yang mampu saya kongsi demi menzahirkan sesuatu yang masih berpusar gusar di dalam..